Categories: Berita Hiburan

Bedah Mata Percuma Untuk B40: DJ Lin & PERISMA Kagum Usaha Dr Afif Tubuh Yayasan Al-Farhain – “Satu Amalan Mulia.”

Share

Penyampai radio, DJ Lin akui tersentuh dan kagum melihat usaha murni Dr Afif Mohd Ridzwan yang berusaha menubuhkan Yayasan Al-Farhain demi membantu masyarakat yang selama ini menanggung derita kesihatan dalam diam.

Menurut DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd Majid, dia melihat inesiatif itu sebagai satu sinar baharu buat golongan B40 yang terbeban dengan senarai menunggu hospital yang panjang dan kekangan kewangan.

Menerusi pertemuan itu, DJ Lin menyatakan sokongan padu terhadap usaha Dr Afif yang sudah lama membantu masyarakat secara kecil-kecilan.

“Bagi saya, usaha ini bukan sekadar projek kebajikan biasa, malah satu inisiatif yang mampu membuka ruang dan peluang buat lebih ramai golongan B40 yang selama ini menanggung derita dalam senyap kerana kurang berkemampuan dan tidak tahu saluran yang betul.

“Bagi saya, langkah baik Dr. Afif bersama pasukannya untuk menubuhkan satu yayasan sebagai cara memberi semula kepada masyarakat adalah satu niat yang sangat murni,” katanya.

DJ Lin berkata demikian seusai program Bicara Wanita: Pengorbanan dan Inspirasi anjuran Persatuan Isteri dan Pegawai Wanita (PERISMA) JBPM Pahang, di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kuantan.

Turut hadir Pengarah Bomba Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim; Pengerusi PERISMA, Datin Suraya Jusoh; wakil PUSPANITA Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, PERKEP Briged Tenggara PGA serta Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang.

Langkah Yang Disambut Baik

Pada masa sama, DJ Lin turut berkongsi rasa terharunya apabila dimaklumkan mengenai perancangan Dr Afif yang Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain untuk membantu golongan memerlukan melalui pembedahan mata percuma.

“Apa yang Dr. Afif beritahu kepada saya, nak bantu operasi pembedahan mata secara percuma kepada golongan yang memerlukan, itu satu amalan yang mulia.

“Tidak ramai yang mampu mendapatkan rawatan seperti itu, apatah lagi bila senarai menunggu di hospital terlalu panjang dan kos rawatan di sektor swasta pula sering menjadi penghalang.

“Ini secara tak langsung menjadi penghalang buat golongan B40 nak rasa teknologi rawatan canggih,” katanya lagi.

DJ Lin menambah, langkah ini mampu menjadi ‘jambatan’ buat mereka yang tidak tahu ke mana harus mencari bantuan.

“Ramai sebenarnya yang tak tahu channel atau saluran yang betul. Apabila ada yayasan begini, ia boleh bantu lebih ramai yang memerlukan.

“Ini satu idea yang murni sebenarnya. Saya sangat kagum dengan inisiatif Dr. Afif bersama team.

“Mudah-mudahan dapat sokongan daripada semua pihak. Niat baik, Allah akan bantu,” katanya.

Dr Afif pula menjelaskan, ramai golongan B40 mengalami masalah penglihatan yang menjejaskan pekerjaan, namun tidak mendapatkan rawatan kerana kos yang membebankan.

“Kebiasaannya golongan ini tidak dapat melihat jelas untuk bekerja, sukar memandu kerana risiko keselamatan, terpaksa berhenti kerja kerana masalah penglihatan, menunggu rawatan yang entah bila dan sebagainya.

“Insya Allah, Yayasan Al Farhain ingin menamatkan penantian itu,” ujarnya.

Sementara itu, Datin Suraya Jusoh menyatakan sokongan terhadap penubuhan yayasan tersebut.

“Saya melihat langkah ini sebagai sinar baharu buat golongan B40 yang selama ini ada antara mereka terpinggir dari sudut rawatan kesihatan berkualiti.

“Ramai sebenarnya yang sedang menunggu. Ada yang tak mampu dan ramai yang tak tahu di mana nak dapatkan bantuan,” katanya.

Program tersebut yang menghimpunkan lebih 100 ahli PERISMA turut menampilkan sesi Bicara Wanita bersama DJ Lin, ceramah kesihatan bersama Dr Afif serta sambutan ulang tahun Suria FM ke-18.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH