
Penyanyi Shila Amzah tampil menafikan dua penyanyi rock legenda iaitu Ella dan Datuk Awie terlibat dalam insiden serangan yang berlaku terhadapnya secara verbal ketika sesi latihan sebuah konsert, baru-baru ini.
Malah Shila turut meminta ramai agar tidak terus membuat tuduhan melulu terhadap mana-mana individu, khususnya Datuk Awie.
“Yang pasti bukan Kak Ella, bukan Datuk Awie… siapa yang cakap Datuk Awie itu tolonglah berhenti. Dan bukan nama-nama lain yang berada di konsert hari itu.” katanya.
Penyanyi lagu Patah Seribu itu berkata demikian sejurus tamat program realiti, Raise The Star Malaysia minggu keempat di Royal Theatre Shah Alam, malam tadi.
Walaupun tidak menyebut nama secara langsung, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 34, bagaimanapun mengesahkan individu yang menyerangnya ialah bapa kepada pelakon Nabila Huda.
“Bapa kepada Nabila Hudalah… Iya betul, saya mengesahkan (bapa kepada Nabila Huda).
“Sebab setakat ini, kalau tengok kepada report saya rasa keterangan sudah diambil daripada pihak dia juga, jadi kita tunggu sahaja,” jelasnya.
Shila juga menegaskan, tindakannya membuat laporan polis bukanlah untuk menjatuhkan mana-mana individu, sebaliknya demi menegakkan keadilan atas insiden yang berlaku selain mahu melindungi diri.
“Saya buat ni bukan nak burukkan nama sesiapa tapi apa yang salah, salah lah.
“Apa yang menyebabkan sesuatu negatif kepada orang lain salah lah. Benda ini tak sepatutnya berlaku,” katanya lagi.
Untuk rekod, insiden ini dilaporkan berlaku ketika Shila sedang menjalani sesi ‘sound check’ menjelang konsert ulang tahun Mr. DIY.
Antara artis lain yang turut menjayakan konsert tersebut termasuk Ella, Datuk Awie dan Datuk Amy Search.
Kes berkenaan masih dalam siasatan dan Shila menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam membuat keputusan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.