Hiburan

“Bakat Adalah Kurniaan, Tidak Boleh Dibeli,” – Tawar Hadiah USD20,000 & Biasiswa Di Korea Selatan, Ogy Sedia Curah Ilmu 5 Dekad

Share

Bagi merealisasikan impian melahirkan bintang antarabangsa dari Malaysia dan Asia, program realiti muzik Asian Pop Stars (APS) 2025 bakal membuka tirai pada 29 November ini.

Diterbitkan buat pertama kali oleh Pertubuhan Generasi Digital Malaysia (PGDM), APS tampil dengan pendekatan luar biasa dan tidak hanya mencari bakat vokal, tetapi membentuk artis lengkap yang bersedia ke pentas global.

Seramai lapan finalis terbaik akan menerima biasiswa latihan khas selama sebulan di ASWARA dan dua bulan di Korea Selatan bagi mengekalkan momentum kerjaya mereka selepas pertandingan.

“Kami di PGDM berbesar hati untuk menyahut cabaran menganjur dan menerbitkan pertandingan ini dalam usaha mencari bakat yang mampu bergelar bintang bertaraf dunia.

“Lebih menarik, ini kali pertama buat kami dan julung kali juga sebuah NGO menganjur dan menerbitkan pertandingan realiti seumpama ini di negara kita,” kata Pengerusi PGDM, Datin Seri Dr. Harnie Mohamed.

Ogy Mahu Buktikan Bakat Lebih Penting Dari Rupa

Pada majlis pelancaran APS 2025 di ASWARA baru-baru ini, PGDM turut mengumumkan pelantikan seniwati, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy, sebagai Pengetua APS, dibantu oleh tenaga pengajar berpengalaman iaitu Isabella Soliano (vokal) dan Azmie Z. Abdden (koreografer).

Menurut Ogy, dia tidak mahu program ini mengikut acuan program-program sedia ada.

“Sebenarnya, ramai penyanyi di luar sana yang berbakat. Namun, mereka yang benar-benar boleh menyanyi ini kurang dari segi penampilan. Lantas, mereka tidak diterima. Itu yang mengecewakan saya.

“Bakat adalah kurniaan sejak lahir dan tidak boleh dibeli. Bila dilantik selaku pengetua, saya nak tunjuk kepada mereka seni persembahan yang sebenar.

“Sebab itu saya mahu tenaga pengajar yang faham apa itu seni dan bukan asal boleh.

“Para peserta ini telah meletakkan kepercayaan kepada kami agar mereka dapat mengubah nasib keluarga melalui seni,” ujarnya.

Hadiah Lumayan & Jelajah Cuti-Cuti Malaysia

APS 2025 bakal bersiaran langsung setiap minggu di saluran RTM bermula 29 November, dari jam 9.00 malam hingga 11.30 malam.

Tiga minggu pertama tidak akan ada penyingkiran, namun minggu keempat bakal menyaksikan 12 peserta tersingkir.

Lapan peserta terbaik akan mara ke Konsert Akhir yang dijadualkan berlangsung pada 3 Januari 2026 di PICC, Putrajaya.

Juara bakal membawa pulang hadiah utama bernilai USD20,000 beserta piala pusingan dan sijil pengiktirafan.

Selain itu, para peserta juga akan terlibat dalam program khas Cuti-Cuti Malaysia selama sembilan hari merentasi sembilan negeri sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Untuk info lanjut, orang ramai boleh layari laman web rasmi dan media sosial Asian Pop Star.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
Aizam Manaf