Berita

“Bahagia Kalian, Bahagia Kami…,” – Fazura Luah Rasa Syukur, Terharu Lihat Cinta Bella Astillah & Dipertemukan Dengan Lelaki Budiman Syed Saddiq

Share

Aktres Nur Fazura, menzahirkan rasa gembira atas pertunangan penyanyi dan pelakon, Bella Astillah bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berlangsung baru-baru ini.

Menurut Fazura, dia teruja apabila Bella akhirnya dipertemukan dengan seorang lelaki yang menyayanginya sepenuh hati.

“Kita mendoakan dan akhirnya hanya Allah SWT maha menentukan yang terbaik. Syukur Alhamdulillah.

“Tahniah buat adikku Bella Astillah, kini menjadi tunangan lelaki budiman YB Syed Saddiq yang menyayangi mu dan anak-anak dengan sepenuh hati,” tulisnya.

Ucapan penuh makna itu dikongsikan oleh pelakon filem Gol & Gincu tersebut menerusi satu hantaran di Instagram.

Dalam masa sama, Fazura turut memanjatkan doa agar hubungan Bella dan Syed Saddiq sentiasa mendapat reda Allah serta dipermudahkan urusan menuju ke fasa seterusnya.

“Semoga Allah SWT melindungi kalian dengan hikmah, petunjuk serta keredhaanNya dan semoga kasih-sayang yang tersemai di dalam hati kalian sentiasa mekar di dunia akhirat.

“Mudah-mudahan, amin. Bahagia kalian, bahagia kami,” kongsinya lagi.

Reaksi Netizen & Doa Buat Fazura

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa teruja melihat keakraban sesama rakan artis.

Ada juga yang tidak lupa mendoakan agar Fazura turut dipertemukan dengan jodoh yang baik suatu hari nanti.

Antara komen yang ditinggalkan;

“Pelangi awak akan datang juga, Faz. Insya-Allah. Dengan seorang lelaki yang benar-benar layak untuk hati awak, yang akan menjaga awak dengan penuh kasih sayang dan tahu menghargai keikhlasan serta kebaikan awak. Sebak pula rasa.”

“Semoga awak dipertemukan dengan seseorang yang mencintai, menghormati, mengambil berat dan menghargai awak tidak lama lagi, Kak Faz.”

“Awak sentiasa ikhlas dalam mendoakan kebahagiaan orang lain. Saya harap suatu hari nanti kebahagiaan itu juga akan datang kepada awak. Doa saya sentiasa untuk awak, Kak Faz.”

“Semoga satu hari nanti Fazura juga ditemukan dengan lelaki qawwam sebagai jodoh, dan Fazura pula menjadi wanita qanaah, saling melengkapi dan bahagia sehingga ke Jannah.”

Terdahulu, Bella dan Syed Saddiq telah selamat melangsungkan majlis pertunangan pada Sabtu lalu dan Fazura antara rakan selebriti yang dijemput untuk sama-sama meraikan detik bahagia itu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Sumber & Kredit Foto: Instagram & Threads Fazura

Published by
Aizam Manaf