
Menyimpan hasrat untuk mendirikan rumah tangga seperti mana orang lain, pelakon dan penyanyi Azira Syafinaz tetap bersyukur dengan segala perjalanan dan takdir yang telah ditentukan Allah SWT buat dirinya.
Jelas Azira, dia bagaimanapun kini hanya mahu kekal positif dan tetap gembira menjalani kehidupan secara solo.
“Saya rasa semua orang pun sudah tahu. Jika orang bertanya, saya memang tiada jawapan. Saya masih lagi solo dan gembira dengan kehidupan saya ketika ini.
“Sudah tentu saya mempunyai impian untuk mendirikan rumah tangga namun, jodoh saya belum sampai lagi. Jika ada jodoh, Alhamdulillah.
“Jika tiada jodoh sekali pun, saya rasa Allah nak selamatkan saya. Mungkin ada perkara yang lebih baik buat saya pada masa akan datang.
“Mungkin esok lusa saya akan terjumpa jodoh saya. Ketika ini, saya hanya mahu memberikan fokus terhadap kerjaya. Ada banyak lagi perkara yang ingin saya capai pada 2026,” katanya kepada MH.
Anggota kumpulan De Fam itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media kempen Ramadan dan Raya TV3, Jwanjih Drama!, baru-baru ini.
Jelas Azira lagi, dia sebenarnya sudah lali untuk berhadapan dengan sebarang pertanyaan berkaitan jodoh dan pasangannya.
“Saya sudah lali dengan perkara ini. Ia tidak membuatkan saya berasa tertekan atau sedih. Saya sudah terbiasa dan gembira sahaja. Pada saya, kesihatan mental itu lebih penting.
“Jika tak okay, tak mungkin saya boleh lalui apa yang saya kecapi ketika ini. Bila sudah lama tak jumpa ahli keluarga lain, biasalah jika mereka bertanya bila nak kahwin atau siapa boyfriend saya. Saya okay sahaja,” kongsinya lagi.
Dalam masa sama, Azira akui agak sukar untuk mencari pasangan yang boleh memahami kehidupan dan kerjayanya sebagai anak seni.
“Saya memang mahukan pasangan yang bukan sahaja memahami kerjaya tapi masa saya. Saya masih ingin teruskan apa yang sedang saya lakukan ketika ini.
“Sejak dari zaman sekolah lagi saya sudah mula bekerja. Saya memang suka untuk tidak bergantung dengan orang lain. Itu adalah diri saya.
“Sejujurnya nak cari yang memahami itu agak sukar. Tapi jika ada seseorang yang datang dan dia boleh memahami dan sayang saya serta keluarga, InsyaAllah saya boleh terima. Kita doakanlah yang baik-baik,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Azira bakal muncul menerusi drama terbaharu berjudul Kerana Cinta Itu Dusta yang turut menampilkan barisan pelakon seperti Jazmy Juma, Emma Maembong dan Nazrief Nazri.
Kerana Cinta Itu Dusta mengisahkan tentang watak Seri (Azira) yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan diselamatkan oleh dua sahabatnya, Orked (Emma Maembong) dan Sufian (Jazmy Juma).
Bercerita lanjut mengenai wataknya itu, Azira mengakui ramai wanita masa kini sanggup kekal dalam perkahwinan dan hubungan toksik atas dasar cinta dan nama baik yang akhirnya memudaratkan diri sendiri.
“Untuk saya minta mereka tinggalkan pasangan, kita tak boleh nak melawan takdir dan ketentuan Tuhan. Manusia juga boleh berubah. Namun, apa yang boleh saya katakan, kita perlu berani untuk bangkit.
“Bukannya kena bersikap kurang ajar atau ingkar arahan suami tapi kita perlu perjuangkan apa kita inginkan.
“Kalau boleh, kita jangan kekal dalam lingkaran yang toksik. Hubungan toksik ini bukan sahaja berlaku dalam perhubungan tapi ia juga boleh terjadi dalam persahabatan dan keluarga.
“Cubalah sebaiknya untuk mengelak dan keluar daripada hubungan toksik ini,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini