Categories: Berita Hiburan

Azharina Angkat Suara Wanita Di Pentas Serantau, Wakili Anak Seni Di 1st ASEAN Women’s Conference

Share

Penyanyi dan pengarah Azharina Entertainment, Azharina Azhar telah dipilih sebagai salah seorang panelis bagi 1st ASEAN Women’s Conference on Best Practices yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC).

Persidangan berprestij ini dianjurkan oleh IKSnita dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah.

Azharina menjadi satu-satunya wakil anak seni dalam kalangan panelis jemputan dan dijemput khas untuk berkongsi pengalaman serta sumbangannya dalam bidang kemanusiaan dan kebudayaan, selaras dengan tema perbincangan bertajuk Women in Humanity and Culture.

Turut bersama-samanya di pentas forum tersebut ialah Ms Jumriati Abdullah dari Kelab PERWIRA Malaysia serta Puan Sri Datin Prof. Dr. Liana Lim, tokoh budaya dari keluarga Diraja Budaya Nusantara dan Kemanusiaan.

Sepanjang lebih dua dekad bergiat dalam dunia seni, Azharina bukan sahaja menabur bakti dalam bidang muzik, malah aktif dalam kerja kebajikan dan aktivisme wanita.

Dalam sesi tersebut juga, penyanyi lagu Seandainya ini berkongsi mengenai peranannya sebagai Presiden Kelab Artis 1 Malaysia Sabah (KA1MS) serta pelbagai inisiatif kebajikan yang pernah diketuainya.

Sumbangan, Kejayaan & Penghargaan

Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk Konsert Amal Maya Azharina & Friends pada tahun 2021 yang bertujuan membantu mangsa banjir di Sabah.

Konsert berkenaan bukan sahaja berjaya mengumpul dana, malah membuka mata masyarakat mengenai keperluan mendesak mereka yang terkesan.

“Saya terlibat secara langsung dalam pengagihan bantuan makanan asas seperti beras kepada ibu tunggal dan anak-anak di kawasan Puchong.

“Bantuan ini memberi kesan langsung kepada keluarga yang memerlukan dan sering terpinggir dalam masyarakat,” jelas Azharina.

Pada masa sama, dia turut berkongsi bagaimana muzik digunakan sebagai medium memperkasakan wanita, antaranya melalui lagu-lagu seperti Hey Lelaki, Kita Selamanya, Realiti dan Cinta.

Selain itu, Azharina juga menyentuh pencapaian peribadinya termasuk kejayaan dalam pertandingan nyanyian, penerbitan dokumentari, serta pengiktirafan sebagai Tourism Icon of The Year (Celebrity) menerusi Malaysia Tourism Council (MTC) Gold Awards 2022 di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, Sarawak.

“Saya berasa sangat bersyukur kerana dipilih untuk menjadi panelis di persidangan ini. Ia adalah satu pengalaman yang sangat berharga, apabila dapat berkongsi pentas dengan wanita-wanita luar biasa dari Malaysia, Filipina, Indonesia, Singapura dan Brunei.

“Mereka hadir dengan aura positif yang luar biasa dan banyak memberi inspirasi kepada saya,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Azharina turut menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur.

“Saya berterima kasih kepada IKSnita terutamanya YBhg. Datuk Dayang Khatijah Datu Haji Bachtiyal selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur dan juga pihak UiTM Sabah atas jemputan ini.

“Saya harap persidangan seperti ini akan diteruskan di masa akan datang kerana ia membuka ruang kepada lebih ramai wanita untuk menyuarakan pendapat, berkongsi inspirasi, dan membina jaringan sokongan yang kukuh di peringkat serantau,” katanya.

Terdahulu, persidangan ini telah dihadiri oleh tetamu kenamaan termasuk Yang Berhormat Dato’ Hajjah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia; Yang Amat Berbahagia Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag serta Associate Professor Dr. Rozita @ Uji Mohammed.

Acara yang berlangsung juga membincangkan beberapa perkara lain, merangkumi pelbagai sesi pembentangan, forum panel dan jaringan kerjasama antara peserta dari seluruh ASEAN.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH