Categories: Berita Hiburan

Awie, Faizal Tahir & 1111 Pendikir Bakal Meriahkan Kelate Charity Festival, Kasih Disemai… Rezeki Dikongsi

Share

Seramai lebih 30 selebriti termasuk penyanyi dikir dan penceramah dijangka bakal memeriahkan Kelate Charity Festival 2025 (KC Fest 2025) yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan bermula 17 hingga 20 September ini.

Festival amal anjuran bersama Madoo Bee, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan HMS Maju Group ini mengetengahkan slogan ‘Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelate’ serta bakal melibatkan ramai selebriti yang dekat di hati masyarakat tempatan.

Wakil penganjur merangkap koordinator KC Fest, Muhammad Nazrin Mohamad Isa berkata, penglibatan artis memainkan peranan penting untuk menarik orang ramai ke program amal ini.

Antara selebriti yang bakal menjayakan festival ini ialah Datuk Awie, Datuk Nash, Faizal Tahir, Senario, Ameng Spring, Caliph Buskers, Aris Ariwatan, Halim Yazid, Bob Sentuhan dan ramai lagi, termasuk lebih 20 penyanyi dikir.

“Program amal ini memang amat dekat di hati saya dan semua artis yang menyertainya. Saya rasa berbesar hati apabila ramai selebriti sudi menyokong festival amal ini.

“Saya percaya sebagai artis atau selebriti, mereka boleh guna bakat dan populariti yang ada untuk menggalakkan masyarakat supaya ambil bahagian dalam program amal sebegini.

“Sebagai penganjur, pemilihan artis dibuat dengan teliti dan mengambil kira cita rasa masyarakat Kelantan yang sukakan hiburan santai, mesra keluarga serta bercorak budaya.

“Apa yang istimewa, kami gabungkan artis kebudayaan tempatan, penyanyi terkenal tanah air, ikon masyarakat dan juga penceramah. Semua ini untuk pastikan festival ini benar-benar dekat di hati rakyat,” katanya yang mensasarkan 50,000 pengunjung ke KC Fest kali ini.

Selain persembahan artis dan pelbagai gerai jualan, pengunjung juga akan disajikan dengan aktiviti lain seperti Kelate Charity Walk yang bakal dihadiri Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Segmen Malam Kerohanian pula akan menyaksikan 1111 peserta selawat dalam Selawat Perdana, disertai sesi perkongsian ilmu oleh Ustazah Asmak Husin dan artis jemputan, Angeline Tan.

Manakala Malam Kebudayaan akan memecah rekod dengan persembahan 1111 pendikir di satu pentas besar sebelum ditutup dengan pertunjukan bunga api.

Dana & Harapan Festival

Sementara itu, Pengarah Eksekutif KC Fest, Muhammad Kamal Azmi Mohd Radin menjelaskan KC Fest 2025 turut meraikan 500 orang asnaf dengan sumbangan daripada penaja termasuk Maybank, Bank Muamalat dan Agro Bank.

Menurutnya, festival ini adalah satu bentuk tanggungjawab sosial dan usaha untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Matlamat utama festival ini adalah untuk menggerakkan semangat kebajikan dan kesatuan rakyat. Kita mahu sampaikan mesej bahawa rezeki boleh dikongsi, kasih sayang boleh disemai dan budaya boleh terus dipelihara.

“Dana festival ini yang diperoleh daripada sewaan booth dan penjualan pakaian akan disumbangkan ke tabung KC Fest 2026. Insya Allah, kami sasarkan sebanyak RM500,000 untuk tabung tersebut.

“Hasil daripada festival ini akan disalurkan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan. Bagi saya, ini penting agar masyarakat dapat melihat bahawa hiburan dan kebajikan boleh berjalan seiring sekaligus mendatangkan manfaat besar,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Kelantan dipilih sebagai lokasi kerana negeri ini kaya dengan budaya, tradisi dan semangat kebersamaan yang kuat.

“KC Fest sebenarnya membawa mesej bahawa budaya, kesenian dan kebajikan boleh digabungkan dalam satu platform besar. Kelantan mempunyai keunikan tersendiri daripada sudut warisan seni, makanan tradisi sehinggalah kekuatan komuniti.

“Kita mahu Kelantan jadi titik permulaan sebelum festival ini dibawa ke peringkat lebih luas, sekaligus memperkenalkan budaya Kelantan yang sebenar kepada seluruh negara,” katanya.

Kamal Azmi turut berharap KC Fest dapat menjadi simbol perpaduan rakyat.

“Harapan kami agar KC Fest menjadi sebuah platform tahunan yang bukan sahaja menghiburkan rakyat, tetapi juga membina semangat bersatu hati dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Kami mahu jadikan Kelantan contoh kepada negeri-negeri lain di mana budaya, hiburan dan kebajikan boleh digabungkan dalam satu festival.

“Insya Allah, kami berharap KC Fest dapat diangkat menjadi acara rasmi negeri Kelantan setiap tahun, demi rakyat, budaya dan kebajikan,” tambahnya lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
MH