
Bersempena ulang tahun perkahwinan kedua, pelakon Datin Intan Najuwa menitipkan ucapan penuh penghargaan buat suami tercinta, Datuk Ahmad Azraf Azman.
Dalam nukilan tersebut, Intan meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan suami yang penyayang serta tidak pernah memintanya melakukan kerja-kerja rumah.
“Selamat ulang tahun perkahwinan yang kedua buat cinta hati saya. Sejak hari pertama sehingga sekarang, awak tak pernah minta saya buat kerja rumah atau buat saya risau tentang hal-hal kecil.
“Awak hanya terus manjakan, lindungi dan menyayangi saya seperti puteri raja,” tulisnya.
Luahan itu dikongsikan pelakon drama Racun Rihanna berkenaan menerusi hantaran di Instagram.
Selain itu, Intan turut menyifatkan ikatan kasih sayang mereka bertambah erat dengan kehadiran cahaya mata pertama, Imane Lunara.
“Malah, dengan kehadiran anak perempuan tersayang, Lunara, rasa cinta kita jadi lebih lengkap. Saya suka jalani hidup ini bersama awak,” ujarnya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tumpang gembira dan mendoakan agar Intan dan suami kekal bahagia hingga ke akhir hayat.
“Happy anniversary. Saya doakan agar hubungan kalian berdua sentiasa dalam kasih sayang dan rahmat Allah. Semoga sentiasa dilindungi dan dijaga oleh Allah jua.
“Semoga berbahagia hingga ke syurga Allah.
“Rasanya macam baru semalam tengok majlis perkahwinan awak. Cepat masa berlalu. Semoga bahagia dunia akhirat.
“Isteri kekal cantik sebab dapat suami yang betul-betul jaga isteri dan keluarga dia. Mampu beri kemewahan. Tahniah Intan dan suami. Happy anniversary,” antara komen warganet.
Untuk rekod, Intan mendirikan rumah tangga bersama Datuk Ahmad Azraf pada 18 Ogos 2023.
Hasil perkongsian hidup itu, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Imane Lunara, yang lahir pada 15 Disember 2024.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Sumber & Kredit Foto: Instagram Intan Najuwa