
Pelakon Redza Rosli meluahkan rasa teruja dan syukur selepas isterinya selamat melahirkan cahaya mata sulung mereka pada 13 Januari lalu.
Menyedari tanggungjawab yang kini semakin besar, Redza mengakui dirinya perlu lebih bersedia untuk memikul amanah sebagai seorang bapa.
Menurut Redza, dianugerahkan kurniaan yang tidak ternilai, dia akan berusaha sebaik mungkin untuk mengimbangi tanggungjawab sebagai bapa, suami dan anak lelaki.
“Menurut Redza, dia amat bersyukur kerana isterinya, Bella Hanna dan anak, Muhammad Aydrean Raess kini
“Sudah semestinya saya sangat bersyukur bila dikurniakan cahaya mata lelaki. Pengalaman bergelar bapa itu tidak banyak lagi tapi saya dapat merasakan tanggungjawab itu.
“Sebagai suami dan anak lelaki, tanggungjawab saya kini semakin bertambah bukan sahaja pada anak tetapi juga kepada kedua ibu bapa dan keluarga saya sendiri,”
“InshaAllah saya akan cuba sebaik mungkin dan mencari masa untuk menjalankan semua tanggungjawab termasuklah dari segi kerjaya,” katanya kepada MH.
Redza berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran kempen Ramadan Astro yang berlangsung di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.
Dalam masa sama, pelakon drama Safira ini memaklumkan anak dan isterinya, Bella Hanna kini berada dalam keadaan yang baik dan sedang menjalani tempoh berpantang.
“Ketika ini, isteri saya sedang berpantang dengan ibu mentua saya. Saya pun sedang terlibat di dalam penggambaran dan agak sibuk.
“Namun, alhamdulillah, saya dikurniakan keluarga dan keluarga mentua yang senang bila nak berurusan. Ketika isteri saya hamil, dia suka duduk seorang diri. Jadi, saya agak risau bila perlu keluar bekerja.
“Bila berpantang ini, kena ada orang jaga. Jadi, saya bersyukur dengan adanya keluarga yang membantu,” ujarnya.
Sementara itu, Redza turut menyifatkan kehadiran cahaya mata menyerikan lagi kehidupannya bersama isteri dan menganggap perjalanan hidup sebagai satu kitaran yang telah diatur dengan sebaik-baiknya.
“Saya masih lagi tidak percaya bila sudah bergelar bapa. Namun, perjalanan hidup ini seperti sebuah kitaran. Saya pun akan tua dan meninggal dunia satu hari nanti.
“Semua orang akan lalui perjalanan ini. Saya anggap aturan Allah ini sangat indah. Dia bukan sahaja bagi rezeki anak, tapi Dia juga bagi rezeki kesihatan, keluarga, masa, pekerjaan dan macam-macam lagi,” kongsinya.
Ditanya mengenai sebab dia mengambil masa yang agak lama untuk berkongsi tentang kelahiran cahaya mata pertamanya itu, Redza menjelaskan ia adalah keputusan yang dibuat oleh isterinya sendiri.
“Itu merupakan keputusan isteri saya juga. Kita pun risau jika ada apa-apa yang terjadi. Melihat kepada isu-isu semasa, ada juga bayi yang meninggal dunia dalam kandungan.
“Seperti semua tahu, saya jarang berkongsi apa-apa di media sosial. Saya pun jarang aktif bermain media sosial melainkan ia melibat pekerjaan.
“Saya tetap menjadi diri saya. Saya rasa kehidupan saya sama sahaja seperti orang biasa. Hanya pekerjaan saya sahaya memerlukan saya muncul di kaca tv.
“Namun, saya tetap perlu menghargai kerja saya. Saya tetap akan berkongsi dari masa ke semasa. Selebihnya, saya serahkan kepada isteri saya. Dia lebih aktif di media sosial,” kongsinya lagi.
Minggu lalu, Redza dan isteri berkongsi khabar gembira mengenai kelahiran cahaya mata sulung yang diberi nama Muhammad Aydrean Raess.
Sekadar informasi, Redza dan Bella mendirikan rumah tangga pada 21 Jun 2024.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini