
Selepas kejayaan francais Projek, Astro Originals kembali dengan karya terbaharu berjudul Generasi: Perfect 10 (G:P10) yang mengetengahkan konflik kehidupan remaja serta cabaran dalam dunia sukan gimnastik.
Menurut Penerbit Eksekutif merangkap Ketua Astro Shaw dan Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro, Raja Jastina Raja Arshad, G:P10 merupakan penceritaan berani yang turut menyentuh tema kemanusiaan dan sosial.
“Kami bukan sahaja melancarkan sebuah siri baharu tapi juga kami olah dan mengangkat sebuah kisah yang berani dalam penceritaan drama Melayu.
“Generasi: Perfect 10 merupakan siri premium pertama yang mengetengahkan mengenai kehidupan para remaja di sebuah sekolah sukan. Bayangkan siri Projek: High Council dan Mean Girl digabungkan dalam versi sukan.
“Namun, siri ini bukan sahaja menceritakan tentang gadis remaja dan sukan, tetapi ia juga menerapkan elemen keberanian dan kegigihan untuk menjadi yang terbaik walaupun dalam situasi penuh tekanan,” katanya.
Raja Jastina berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana dan sidang media G:P10 di Pavilion, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Beliau turut menjelaskan, G:P10 digarap dengan teliti bersama bimbingan pasukan gimnastik kebangsaan serta ikon sukan negara, Farah Ann Abdul Hadi yang bertindak sebagai penasihat.
“Siri ini juga ialah sebuah drama fiksyen gimnastik pertama yang berkolaborasi bersama pasukan gimnastik kebangsaan.
“Lebih istimewa, ikon sukan negara Farah Ann turut membuat penampilan khas menjadi dan penasihat siri ini,” tambahnya lagi.
Sementara itu, ‘showrunner’ G:P10, Nas Addina pula mendedahkan sukan gimnastik dipilih sebagai latar kerana keunikan serta tuntutan kesempurnaan dalam setiap gerakan.
“Gimnastik merupakan sebuah sukan yang sangat unik. Ia mementingkan kesempurnaan. Setiap pergerakan dan aksi harus dilakukan dengan teliti.
“Sukan ini memerlukan fizikal dan mental yang kuat. Sebab itu kami sangat tertarik untuk membawakan kisah mengenai gimnastik.
“Saya juga bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan Farah Ann dan atlet kebangsaan. Mereka banyak berikan tunjuk ajar.
“Bagaimanapun, sukan berkenaan hanyalah sebuah latar untuk siri ini. Cerita utamanya adalah tentang sekumpulan remaja yang ingin mengejar impian. Mungkin faktor ini yang membuatkan penonton rasa dekat,” katanya.
Bekas atlet kebangsaan, Farah Ann Abdul Hadi turut meluahkan rasa bangga kerana G:P10 memberi pendedahan meluas terhadap sukan gimnastik.
“Bila pihak G:P10 datang berjumpa dan maklumkan mereka mahu buat siri tentang gimnastik, saya bertanya semula adakah mereka benar-benar yakin? Gimnastik ialah satu jenis sukan yang sukar.
“Kalau anda bukan atlet gimnastik, orang mudah sahaja tahu. Namun, bila saya melihat skrip, saya sangat teruja kerana sukan gimnastik jarang diberikan pendedahan.
“Orang tak faham apa yang kami lalui. Bila melihat mereka bekerja dengan sangat teliti untuk memaparkan realiti sukan gimnastik artistik, saya sangat tersentuh.
“Tengok episod pertama pun saya menangis. Bila sukan gimnastik diangkat menjadi sebuah siri, penonton boleh melihat apa yang kami dan atlet junior lalui. Saya sangat bangga,” kongsinya.
Dalam masa sama, Raja Jastina menegaskan Astro Originals konsisten mengetengahkan isu-isu realiti seperti buli yang turut dipaparkan dalam G:P10.
“Kita tak boleh tolak tepi atau mengelak kerana hal ini memang benar-benar berlaku. Cara terbaik untuk mengajar masyarakat adalah melalui pengajaran dalam penceritaan.
“Kami bukan nak memuliakan tindakan buli atau isu-isu negatif lain tapi hal seperti ini memang berlaku. Kami berharap agar siri-siri ini dapat memberikan pengajaran kepada semua,” ujarnya.
G:P10 diarahkan oleh Sling Ng dan dibintangi barisan pelakon seperti Arena Wan, Arabella Ellen, Sofia Jane, Daniel Fong, Sharifah Sakinah dan ramai lagi.
Naskhah ini bakal ditayangkan bermula 19 September 2025, setiap Jumaat, jam 12.00 tengah malam di On Demand atau jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108).
Untuk pengalaman hiburan tanpa henti, pelanggan boleh melanggan Pek Astro One hanya pada harga RM49.99/sebulan, atau menaik taraf dengan Astro Fibre 500Mbps +
Pek Entertainment pada harga
RM139.99/sebulan.
Maklumat lanjut boleh diperoleh di www.astro.com.my atau dengan menghantar WhatsApp “Hi” ke 03 9543 3838.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini