Berita

Astro Bawakan Pengalaman Eksklusif: GV12 & Vaganzers Bersatu Suara

Share

Sebagai tanda penghargaan kepada para peminat yang sentiasa menunjukkan sokongan luar biasa, program realiti popular Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) telah menganjurkan program Vaganzers Karok Vaganza pada 16 Januari lalu, dua hari sebelum malam kemuncak berlangsung.

Acara santai namun meriah yang berlangsung di Mahajara Karaoke, IOI City Mall, Putrajaya bermula jam 8.00 malam itu menghimpunkan kira-kira 70 peminat setia atau ‘Vaganzers’, bersama bintang-bintang GV12 seperti Shy8, Korrie, Krisya dan Freshies.

Penganjuran program ini secara tidak langsung berjaya mengeratkan hubungan antara peminat dan artis, sekali gus menyemarakkan lagi ‘musim’ Gegar Vaganza.

Penghargaan Artis Buat Vaganzers

Bagi penyanyi dan pelakon Shy8, dia amat menghargai sokongan luar biasa yang ditunjukkan oleh para Vaganzers sepanjang saingan musim terbaharu ini berlangsung.

Menurutnya, peminat GV12 sangat unik kerana mereka benar-benar menghargai usaha para anak seni dan bukan sekadar menyokong artis kegemaran masing-masing sahaja.

“Saya kagum dengan semangat mereka. Ada diantara mereka yang sokong kami setiap minggu. Kalau tiada kelompok peminat-peminat yang seperti ini, rasanya makin lama industri kita akan suram.

“Tiada mereka, industri kita tidak akan meriah. Sebagai salah seorang anggota GV12, saya ucapkan terima kasih kepada semua kerana anda bukan sahaja menyokong penyanyi pilihan kalian sahaja tapi turut menyokong peserta-peserta lain.

“Itu yang membuktikan anda ini merupakan peminat professional,” katanya.

Dalam pada itu, Korrie turut berharap agar acara seumpama ini dapat diperbanyakkan pada masa akan datang kerana ia memberi ruang kepada artis dan peminat untuk berinteraksi dengan lebih dekat.

“Bila ada program bersama Vaganzers ini, saya rasa sangat seronok. Kita dapat mengeratkan hubungan bersama peminat. Kita sibuk dengan kerjaya tapi bila ada acara-acara seperti ini, saya gembira bila dapat beramah mesra dengan mereka.

“Malah, saya juga dapat kembali bertemu dengan peminat selepas tersingkir. Ketika di GV12, waktu kita agak terhad. Kali ini, kita ada waktu yang agak panjang untuk bersama,” kongsinya.

Sementara itu, bagi Freshies, keterujaan apabila dapat melihat sisi lain peminat yang jarang mereka saksikan sebelum ini menjadi momen penuh makna.

Menurut salah seorang anggotanya, Shima atau lebih mesra disapa Mak Su, gelagat para Vaganzers bukan sahaja mencuit hati, malah membantu menghilangkan tekanan.

“Kami memang enjoy sakan. Siap berjoget lambak lagi. Saya ni sebenarnya demam selsema dan sudah makan ubat. Bila mula sahaja karaoke, hilang semua mengantuk dan demam.

“Saya rasa aktiviti-aktiviti seperti inilah yang buatkan kita gembira dan sihat. Sakit-sakit pun jadi cepat baik.

“Kiranya Mak Su ni nak lepas dendam. Minggu ke-10 sangat stress. Terima kasih kepada Vaganzers dan Media Hiburan. Program ini memang sangat happpening.

“Kami juga dapat berjumpa dengan Korrie, Shy8 dan Krisya. Terima kasih kerana libatkan kami. Kalau ada lagi, jemputlah nanti,” katanya.

Cipta Kenangan Manis Bersama Bintang GV12

Menurut salah seorang Vaganzers, Roslan Mohd Khairon atau lebih mesra dengan panggilan Angah Banting, program ini disifatkan sebagai antara usaha Astro dalam menghargai sokongan padu peminat selama ini.

“Program pada malam ini berjalan dengan lancar dan sangat bermakna. Kami rasa sangat puas bila dapat meluangkan masa dan berkaraoke sepuasnya bersama bintang-bintang GV12 ini.

“Kami pun tak sangka dapat jumpa dan meluangkan masa sedekat ini dengan mereka. Hubungan erat sesama Vaganzers yang menjadikan acara hari ini sukses.

“Saya juga tak sangka dapat menang kategori Vaganzerz Paling Havoc Lelaki. Walaupun ramai pesaing daripada team-team lain, rezeki memihak kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Faiz Sarudin yang baru pertama kali menyertai Vaganzers tahun ini menganggap Vaganzers Karok Vaganza sebagai platform terbaik untuk mencipta kenangan indah bersama bintang GV12.

“Terima kasih kepada Vaganzers kerana telah menganjurkan program bersama bintang-bintang GV12. Malah, kami dapat menyanyi bersama dengan artis-artis ini.

“Ini tahun pertama saya menyertai Vaganzers. Tak sangka pula mereka punyai pelbagai aktiviti-aktiviti yang best. Tak rugi kalau join Vaganzers ini.

“Kita dapat peluang untuk dekat dengan artis pilihan kita. Ia secara tidak langsung memberikan 1001 kenangan indah buat kami,” akhirinya.

Pada acara ini, setiap Vaganzers dibahagikan kepada enam kumpulan dan mereka perlu bersaing dalam kategori duet serta cabaran Pass The Mic bagi merebut hadiah yang ditawarkan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf