
Saingan Premier League (PL) musim 2025/2026 bakal membuka tirai hujung minggu ini dengan perlawanan tumpuan ‘Super Sunday’ antara dua gergasi, Manchester United dan Arsenal.
Skuad bimbingan Ruben Amorim kini berada dalam misi menebus maruah selepas menamatkan kempen musim lalu di tangga ke-15, suatu pencapaian yang dianggap mimpi buruk buat penyokong mereka.
Dengan kehadiran pemain baharu, kedua-dua pasukan dijangka tampil dengan strategi mantap untuk memastikan aksi pembukaan dimulakan dengan langkah kanan.
Sebagai penyiar rasmi PL di Malaysia, Astro bakal mengadakan tayangan langsung pertembungan Manchester United dan Arsenal pada 17 Ogos ini, bermula jam 8 malam di Ground Floor, Strand Mall, Kota Damansara.
Selain tayangan di skrin gergasi, program ‘Super Sunday Live’ akan bersiaran secara langsung dikendalikan pengacara Adam Carruthers, bersama dua pundit terkenal, Gary Stevens dan Carlton Palmer, yang akan membincangkan fakta, ulasan dan perincian taktikal perlawanan.
Astro turut membuat kejutan dengan mengundang bekas penyerang Arsenal, Nicklas Bendtner, sebagai bintang jemputan.
Para pengunjung berpeluang menyertai sesi beramah mesra dan cabutan bertuah, di samping menikmati persembahan daripada artis popular tanah air, Nadeera Zaini dan SonaOne.
Penyokong dijemput hadir untuk merasai debaran ‘Super Sunday’ ini. Masuk adalah percuma.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini