Categories: Berita Uncategorized

“Asalkan Selesa, Cantik Dan Sopan…,” – Iman Troye Pilih Beli Busana Sendiri & Pernah Dapatkan Baju Kurung RM20, Sokong Hargai Peniaga Tempatan

Share

Penyanyi, Iman Troye, mengakui dia lebih selesa untuk membeli sendiri persalinan yang ingin digayakan, termasuk ketika menjelang musim perayaan.

Iman atau nama sebenarnya, Siti Nur Alyssa Sahabudin, 23, menjelaskan, tindakannya itu bukan kerana menolak tajaan daripada mana-mana jenama.

Sebaliknya, ia dilakukan sebagai tanda sokongan terhadap produk pakaian tempatan.

“Kalau ada yang perasan, kebanyakan persalinan yang saya pakai ketika menjayakan muzik video atau membuat persembahan, saya akan beli sendiri.

“Tapi itu tidaklah bermakna saya tidak cenderung untuk sebarang penajaan busana, cuma saya cuba untuk menghargai setiap koleksi persalinan yang dikeluarkan, termasuk setiap kali menjelang raya.

“Sebab kalau saya tengok cantik, saya beli sebagai tanda sokongan,” katanya ketika ditemui pada katanya sempena majlis KWC Raya Fashion Show Wholesale, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada acara tersebut, Iman diundang untuk menyampaikan beberapa buah lagu popularnya, termasuk Pejam Celik Raya.

Tidak Pilih Jenama, Asal Selesa & Sopan

Mengulas lanjut, Iman mengakui dia juga tidak memilih jenama tertentu dalam soal pembelian pakaian.

Malah, pernah membeli baju raya berharga sekitar RM20 pada Ramadan tahun lalu.

“Waktu itu hanya beberapa minggu lagi nak raya dan ketika itu, kedai berkenaan ada menawarkan promosi untuk Baju Kurung.

“Asalkan ia selesa, cantik dan kelihatan sopan di mata saya, mengapa tidak?,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, KWC Fashion Wholesale turut meraikan kedatangan Ramadan dan Syawal menerusi Kempem Raya 2026 yang akan bermula pada 19 Februari ini.

Pengunjung berpeluang menikmati promosi KWC Beli & Tebus bermula tarikh tersebut. Dengan pembelian minimum, mereka boleh menebus pelbagai hadiah eksklusif seperti sampul raya edisi khas, bekas kaca serta tawaran menarik lain.

Sepanjang Ramadan juga, pengunjung bakal disajikan dengan persembahan selebriti dan pelbagai hiburan menarik, sekali gus menjadikan pengalaman membeli-belah lebih meriah dan menghiburkan.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

.

Published by
MH