Categories: Hiburan

“Arwah Memang Ada Mengidap Kanser Prostat,” – Anuar Zain Syukur Urusan Pengebumian Bapa Dipermudahkan, Keluarga Terima Dengan Tenang

Share

Penyanyi Anuar Zain meluahkan rasa syukur apabila segala urusan pengebumian bapanya, Allahyarham Zin Abdullah, berjalan lancar dan dipermudahkan.

Menurut Anuar, semua urusan selepas bapanya meninggal dunia selesai dalam tempoh kurang lima jam.

“Alhamdulillah segala urusan arwah dipermudahkan. Segala proses hanya mengambil masa di bawah lima jam. Saya bersyukur semuanya berjalan lancar.

“Proses mandikan jenazah juga mudah dan cepat. Pihak masjid juga menguruskan segalanya dengan baik.

“Kata orang, jika urusan mati seseorang itu dipermudahkan, itu bermakna orang itu sangat dikasihi Allah SWT,” katanya kepada MH ketika ditemui di Tanah Perkuburan Elmina, Shah Alam pada Selasa.

Pada masa sama, penyanyi lagu Sedetik Lebih itu turut berkongsi, bapanya telah disahkan menghidap kanser sejak Disember tahun lalu.

“Arwah meninggal dunia di rumah dan disahkan oleh pihak paramadik. Arwah ayah memang ada mengidap kanser prostat.

“Kita dapat tahu pada bulan Disember tahun lepas. Kansernya itu sudah merebak.

“Sebelum ini, arwah ayah ada buat rawatan prostat tapi tiada sebarang tanda-tanda. Cuma pagi tadi dia alami cirit-birit. Tapi saya boleh katakan dia pergi sudah tiba masanya,” ujarnya lagi.

Reda & Kenang Saat Terakhir

Anuar turut memaklumkan, seluruh ahli keluarga reda dengan pemergian bapanya itu.

“Alhamdulillah, pihak keluarga menerima hal ini dengan tenang. Arwah juga sudah menderita sakit agak lama. Allah juga beri kami adik beradik keizinan untuk menjaga arwah.

“Kami bergilir jaga. Kami sekeluarga reda pemergian arwah. Saya tidak terkilan kerana segalanya dipermudahkan,” kongsinya lagi.

Bercerita tentang momen terakhir, Anuar berada di rumah sebelum bapanya menghembuskan nafas terakhir.

Malah, sepanjang sakit, semua adik-beradik sentiasa memberi perhatian penuh dalam menjaga arwah.

“Dia selalu cakap minta maaf sebab menyusahkan, tetapi sebenarnya tidak langsung. Sejak dahulu lagi dia tak pernah menyuruh anak-anak buat apa-apa.

“Arwah Dia sangat berdikari. Bila lihat dia sakit, saya agak sedih. Kami lima beradik sempat menjaga sepanjang arwah sakit,” katanya.

Allahyarham Zin Abdullah disahkan meninggal dunia di kediaman mereka di Subang Permai, Selangor sekitar pukul 2.50 petang pada usia 87 tahun, sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Elmina sekitar jam 7 malam.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf