Categories: Berita Hiburan

“Arwah Abah Tak Sanggup Tengok Anak-Anak Kerja Kuat, Dia Sangat Disenangi Wartawan & Penggiat Seni,” – Anuar Zain

Share

Semangat penyanyi, Anuar Zain untuk terus berkarya dalam bidang seni tidak pernah luntur meskipun selepas pemergian bapa tercinta, Allahyarham Zain @ Zin Abdullah, pada Selasa.

Menurut Anuar, arwah bapanya jarang menonton persembahannya mahupun kakaknya, Ziana Zain secara langsung kerana tidak sanggup melihat anak-anak bekerja keras demi mencari rezeki.

“Kami tidak kisah sama ada abah datang atau tidak ke persembahan kami. Ketika konsert pertama saya pada tahun 2013, abah datang tonton dan dia rasa sangat sedih.

“Dia tak boleh tengok anaknya bersusah payah dan kerja kuat. Pihak media sendiri mesti tahu perjalanan saya sebagai penyanyi dan pelakon.

“Sejak awal lagi, saya tak pernah berkongsi kesusahan yang saya lalui. Pada saya, tiada guna pun. Saya hanya mahu peminat lihat persembahan saya dan mereka gembira. Itu sahaja.

“Abah pula, dia melihat sendiri kesusahan anak-anaknya. Bila dia tonton kami buat persembahan, dia menangis. Dia tak boleh tengok.

“Kami kata, lain kali abah tak perlu datang. Cukup hanya mendoakan kami,” katanya kepada MH.

Pesanan Abah Jadi Pendorong

Dalam pada itu, penyanyi lagu Perpisahan ini mendedahkan arwah bapanya sering menitipkan pesan mengenai kepentingan amal jariah.

“Abah juga selalu berpesan, jika seseorang itu kurang berkemampuan, kita yang mampu ini pergilah tolong semampunya. Bagilah mereka makanan yang sebaiknya.

“Abah seorang yang suka memberi. Dia bukan manusia yang mengambil. Bila kami sudah besar, barulah kami sedar bahawa inilah kehidupan sebenar manusia.

“Manusia tidak seharusnya mengambil, kita sepatutnya memberi. Yang Maha memberi juga Allah SWT. Dia akan beri lebih lagi kalau kita memberi. Soal jariah ini memang perkara kesukaannya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anuar turut menyifatkan arwah bapanya sebagai seorang yang disenangi ramai terutama penggiat industri seni kerana sikap peramah dan mudah didekati.

“Arwah memang sangat disenangi oleh para penggiat industri seni. Dia pernah menguruskan Ziana Zain sekejap satu ketika dahulu.

“Ke mana sahaja dia pergi, orang mesti suka dia terutamanya wartawan senior.

“Ada satu tahap, Ziana sudah ada pengurus sendiri dan abah tidak ikut lagi tapi orang-orang industri selalu bertanya khabar Pak Zain.

“Abah seorang yang rajin berborak. Dia ada banyak pengalaman dalam hidup. Jadi, ada banyak perkara yang kita boleh dengar dan belajar.

“Sewaktu masih muda, kami selalu kata apa yang abah cakapkan itu tak masuk akal. Bila kita lalui sendiri sesuatu fasa hidup, baru kita sedar apa yang dikatakan itu memang betul,” akhirinya.

Allahyarham Zain @ Zin Abdullah menghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarga mereka di Subang Permai, Selangor sekitar pukul 2.50 petang Selasa sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Elmina kira-kira jam 7 malam.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

@mediahiburanofficial “Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan,” – Anuar Zain reda atas kehilangan bapa tersayang. Al-Fatihah #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ original sound – Media Hiburan
Published by
Aizam Manaf