
Dunia hiburan Indonesia kehilangan seorang bintang apabila bekas penyanyi cilik terkenal, Santi Sardi, menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat, 8 Ogos 2025. Allahyarhamah meninggal dunia pada jam 3.21 petang waktu tempatan di Rumah Sakit Kramat 128, Jakarta Pusat, pada usia 56 tahun.
Santi Sardi yang juga kakak kepada pelakon terkenal, Lukman Sardi, pernah mencipta fenomena pada era 1970-an menerusi lagu popular “Menabung” ciptaan komposer tersohor, Titiek Puspa. Kejayaan tersebut menjadikan namanya terpahat sebagai salah seorang artis cilik paling dikenali pada zamannya.
Selain bergelar penyanyi, Santi turut mencuba nasib dalam dunia perfileman dan membintangi beberapa karya terkenal seperti Melawan Badai (1974), Senyum Pagi di Bulan Disember (1974), Selalu di Hatiku (1975) serta Senyum Untuk Mama (1980).
Karier seninya yang merangkumi nyanyian dan lakonan menjadikan beliau figura versatil yang diminati ramai sehingga merangkul Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Festival Filem Indonesia 1975 menerusi lakonannnya dalam filem Senyum Pagi di Bulan Disember.
Menurut Lukman, kakaknya itu telah lama berdepan masalah kesihatan termasuk ketumbuhan pada rahim atau fibroid rahim (uterine fibroid). Keadaan kesihatan Allahyarhamah dilaporkan sering turun naik sehingga ke akhir hayatnya.
Sedih dengan pemergian kakaknya, Lukman Sardi memuat naik gambar kenangan di Instagram dengan kata-kata yang menyentuh hati.
“Hi Kak… tugas Kak Santi sudah selesai di dunia ini… walaupun rasa kehilangan ini begitu besar, tetapi yang penting Kak Santi sudah tidak sakit lagi… Kami semua akan sentiasa merindui Kak Santi.
“Kini Kak Santi sudah tenang dalam kedamaian abadi. Rehatlah dengan penuh kasih sayang, Kak, dan sampaikan pelukan erat buat papa ya… sayang banyak pada Kak,” tulis Lukman.
Jenazah Allahyarhamah disemayamkan di rumah duka di Depok sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Umum Menteng Pulo, Jakarta, pada pagi Sabtu, 9 Ogos 2025. Pemergian Santi Sardi meninggalkan memori indah dalam industri seni Indonesia, khususnya bagi peminat muzik dan filem era 1970-an yang membesar dengan karya beliau.
Sekadar info, bapa kepada Santi Sardi dan Lukman Sardi ialah Idris Sardi, seorang pemain biola legenda Indonesia yang sangat disegani dalam dunia muzik Nusantara.
Idris Sardi terkenal sebagai pemusik dan komposer, pernah mengiringi ramai penyanyi besar Indonesia serta menghasilkan pelbagai karya muzik filem. Beliau meninggal dunia pada tahun 2014.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan