Apa Jadi Bila Alif Dan Sherry Bergabung Jadi Hos AJL32 Februari Depan?

Akhirnya siapa yang bakal menjadi hos bagi anugerah muzik paling berprestij, Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) sudah pun terjawab apabila dua pengacara popular, Alif Satar dan Sherry Al-Hadad diumumkan sebagai pengacaranya tahun ini.

Bakal dilangsungkan pada 11 Februari depan di Axiata Arena Bukit Jalil, dua figura itu berjanji untuk memberikan persembahan terbaik, apatah lagi ini merupakan kali pertama mereka digandingkan sebagai pengacara di atas pentas.

“Saya anggap kepercayaan yang diberikan sebagai satu platform terbaik untuk saya manfaatkan dalam membentuk diri sebagai pengacara secara langsung. Sebab selain lagu-lagu yang bertanding saban tahun, mereka yang dipertanggunjawabkan sebagai pengacara juga akan diberi tumpuan. Jadi sudah semestinya saya akan berikan yang terbaik pada malam itu nanti, insyaAllah,” katanya kepada MH.

Kongsi Sherry lagi, gandingannya bersama Alif juga dianggap sebagai satu penghormatan dan kepercayaan yang pastinya tidak boleh dipandang sebelah mata.

IKLAN

“Bagi saya ini satu penghormatan juga memandangkan kita sendiri tahu akan kredibiliti dan bakat Alif dalam nyanyian dan pengacaraan. Dia bijak dan rasanya mungkin kami akan melengkapi satu sama lain pada malam itu nanti,” kongsinya lagi.

Sementara itu, 12 lagu yang bakal berentap turut diperkenalkan sekali lagi pada sidang media AJL32 iaitu Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan Ajai dan dinyanyikan Dayang Nurfaizah, Menahan Rindu (Ibnu & Gouffran/Wany Hasrita), Lebih Sempurna (Syamel), Aku Cinta (Syamel/Ernie Zakri), Sejati (Faizal Tahir/Mike Chan/Azmi Caliph Busker) dan Tergantung Sepi (Gouffran/Ibnu/Haqiem Rusli).

Manakala enam buah lagi lagu ialah Jampi (Hael Husaini/Ezra Kong), Amboi (Navigator/Altimet) dan Akhirnya Cinta (Ajai/Slen/Salma), Warkah Untukmu (Hang Nadim/Laq/Ara Johari), Bayang (Alam Harry Khalifah/Patrick Anahonda/Khai Bahar) dan Aku Yang Sebenar (M Nasir/Ad Samad/Hazama & The Penglipurlara).

IKLAN

AJL32 yang dibawakan khas oleh Nivea dan Samsung itu juga difahamkan akan turut diserikan dengan persembahan selingan dari Stacy dan beberapa artis lain!