
Melangkah setapak ke hadapan dalam kerjaya mereka, dua pereka fesyen terkenal dari FM Group, Farel Mikhail dan Jonathan Kok kini meneroka bidang baharu dengan menubuhkan Prestige Golf Association (PGA).
Langkah ini tentunya membuka lembaran baharu dalam usaha memasyarakatkan sukan golf yang selama ini sering dikaitkan dengan golongan elit.
Menurut Farel, dia bukan meninggalkan dunia fesyen, sebaliknya, inisiatif ini lahir daripada keinginan untuk meneroka perkara baharu.
“Kita semua maklum bahawa sebelum ini, golf sering dianggap sebagai sukan elit. Bagi kami, persepsi bahawa golf adalah sukan untuk golongan elit perlu diubah.
“Jadi kami mahu mengubah tanggapan tersebut di mana golf kini boleh menjadi sukan rakyat supaya lebih ramai rakyat Malaysia boleh menikmatinya,” jelasnya.
Tambahnya lagi, usaha PGA merangkumi pelbagai pendekatan termasuk penyediaan fasiliti golf dengan harga berpatutan, diskaun kerajaan dan program pembangunan bakat muda.
Farel yang juga Naib Presiden PGA menjelaskan, selain mahu menggalakkan masyarakat agar mementingkan gaya hidup sihat melalui sukan, ia juga sebagai menyahut seruan kerajaan dalam menggalakkan masyarakat bermain sukan tersebut.
Sebagai langkah pertama, mereka turut menganjurkan program Glam Golf Fun Swing yang berlangsung di Fun X Golf, Summit USJ, Selangor.
Acara itu dirasmikan oleh Penasihat PGA, Tengku Datuk Hishammuddin Zaizi. Menariknya, acara ini turut menyatukan dua dunia iaitu sukan dan fesyen.
“Fesyen ini luas skopnya. Setiap pereka fesyen juga ada strategi dan caranya yang tersendiri dan kita tidak berhak menilainya sama ada bagus atau tidak.
“Misalnya saya dan Jonathan, mengambil peluang ini untuk mengembangkan fesyen dalam golf. Untuk itu, langkah pertama yang kami lakukan adalah menganjurkan satu program Glam Golf Fun Swing dengan harapan matlamat yang diinginkan tercapai,” jelas Farel lagi.
Sementara bagi Presiden PGA, Jonathan Kok, elemen fesyen memang disuntik ke dalam pertandingan ini dengan mewujudkan kategori Anugerah Pakaian Terbaik.
“Dalam pertandingan ini ada banyak kategori yang boleh dimenangi oleh peserta. Antaranya adalah Anugerah Pakaian Terbaik.
“Walaupun bersukan, mereka tetap boleh menampilkan fesyen atau gaya yang menarik apabila beraksi.
“Kiranya ini satu permulaan kami untuk membawa fesyen dalam sukan Golf. Sebenarnya, ada banyak lagi yang kami akan keluarkan berkaitan fesyen dan golf. Kami akan umumkan nanti.
“Apa yang saya boleh cakap, skop fesyen itu luas. Dalam sukan pun kita boleh masukkan elemen fesyen,” katanya lagi.
Dalam acara tersebut, kategori Mr Albatross dimenangi oleh Bridget Go (juara), Dr. May Heong (naib juara) dan Candy Hew (tempat ketiga).
Sementara kategori Mrs Albatross pula dimenangi oleh Alex Hee (juara), Eugune Khor (naib juara) dan Elden Soh (tempat ketiga). Bagi Anugerah Pakaian Terbaik, ia dimenangi oleh Datuk Jacki Chiang dan Datin Maylene.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini