
Pelakon dan pelawak popular Indonesia, Andre Taulany disahkan bercerai dengan isterinya, Erin Taulany selepas 20 tahun mendirikan rumah tangga.
Perceraian pasangan tersebut diputuskan oleh Pengadilan Agama Jakarta Selatan selepas mahkamah mengabulkan permohonan cerai talak yang difailkan oleh Andre.
Berdasarkan laporan portal Detik.com, keputusan itu hanya melibatkan cerai talak, manakala perkara berkaitan harta bersama dan hak asuh anak telah disepakati secara damai di luar mahkamah tanpa sebarang pertikaian.
Keputusan perceraian dibacakan pada 11 November 2025 dan masih menunggu tempoh inkrah selama 14 hari sebelum berkuat kuasa sepenuhnya. Selepas tempoh itu, Andre dijadualkan hadir semula ke mahkamah bagi mengucapkan ikrar talak secara rasmi.
Andre dan Erin atau nama sebenarnya Rien Wartia Trigina berkahwin pada 17 Disember 2005 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Mikhael Zidane Taulany, Reuben Theofilus Taulany dan Arvin Tatum Taulany.
Sepanjang proses perbicaraan, kedua-dua pihak dilaporkan bersepakat untuk menyelesaikan urusan rumah tangga secara tertutup dan tanpa melibatkan sebarang tuntutan tambahan.
Andre yang kini aktif sebagai hos dan pelawak televisyen popular di Indonesia memilih untuk tidak memberikan sebarang kenyataan lanjut kepada media, manakala Erin yang juga seorang pengusaha perniagaan fesyen turut mengambil pendekatan berdiam diri.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi TikTok, Instagram, Facebook & Telegram Media Hiburan