
Meskipun pemergian anak tercinta, Allahyarham Andre Mikhail masih lagi memberikan kesan yang mendalam buat seluruh ahli keluarga, pelakon Amyza Aznan tetap mahu meraikan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana sederhana apa adanya.
Menurut Amyza, dia dan keluarga merancang untuk mengadakan majlis tahlil pada Syawal pertama.
“Untuk hari raya pada tahun ini, tak kanlah kami tidak meraikannya pula. Sedih itu tetap ada tapi buat ahli keluarga dan sahabat yang datang menziarah, kita tetap sambut dengan kemeriahan.
“Jadi, untuk mengisi rasa rindu dan perasaan yang Andre sudah tiada lagi, pada hari raya pertama, kita adakan majlis tahlil buat arwah,” katanya kepada MH.
Amyza turut menjelaskan, Syawal tahun ini pastinya berbeza tanpa celoteh dan telatah anak sulungnya itu.
“Kami punyai terlalu banyak kenangan manis. Selalunya, bila hari raya, dia suka menyanyi. Kami juga suka dengar suara dia.
“Itulah momen terindah bila setiap kali raya menjelang. Dia suka bila saya masak rendang ayam tua dan pulut. Apa sahaja yang saya masak, dia suka makan,” kongsinya lagi.
Ditanya mengenai kekuatannya saat mengharungi detik sukar ini, pelakon drama Anugerah Tanpa Cahaya itu memaklumkan dirinya sedang berusaha untuk tidak terlalu larut dalam kesedihan kerana bimbang ia akan memudaratkan diri.
“Jujur saya katakan, kekuatan saya ini sekejap datang dan sekejap hilang. Perasaan itu boleh datang pada bila-bila masa sahaja.
“Namun, saya sedar, kalau terlalu ikutkan perasaan, ia akan memudaratkan diri. Ada kalanya, saya cuba untuk tidak melayan sangat perasaan itu.
“Jika perasaan rindu itu kuat, saya hanya boleh menangis. Saya lepaskan perasaan itu dan tenangkan diri. Kemudian, saya bangkit semula.
“Pada saya perasaan seperti itu normal. Janji kita tahu tahapnya. Jangan sampai rosakkan diri. Bila saya pergi ke kubur, saya rasa tenang. Itu cara saya healing,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Amyza turut berkongsi seluruh ahli keluarganya sentiasa saling menyokong antara satu sama lain, meskipun masing-masing cuba menyembunyikan kesedihan.
“Saya rasa mereka pandai menyembunyikan perasaan mereka daripada saya. Mereka tahu saya ketika ini sangat rapuh. Saya cuma pura-pura kuat depan mereka.
“Jadi, mereka juga pura-pura kuat depan saya. Namun, mereka tak boleh tipu. Saya ini pelakon.
“Tak mengapalah kita cuba untuk menjadi kuat buat antara satu sama lain. Kami menyokong sesama sendiri,” kongsinya.
Pada 24 Februari lalu, Amyza baru sahaja kehilangan anak sulung, Andre Mikhail selepas setahun melawan penyakit kanser paru-paru.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini