
Pelakon Amyza Aznan mengambil keputusan untuk mengeluarkan anak sulungnya, Andre Mikhail daripada hospital selepas menjalani prosedur rawatan bagi penyakit kanser paru-paru, susulan tahap kesihatannya yang dikatakan semakin merudum.
Menurut Amyza, dia kini hanya mampu mengharapkan keajaiban agar keadaan anaknya kembali stabil.
“Anak saya Andre Mikhail akan saya keluarkan dari hospital pada hari ini.
“Hanya mengharapkan keajaiban,” tulisnya.
Perkhabaran tersebut dikongsikan Amyza menerusi hantaran di Instagram Stories miliknya, pada Isnin.
Sejak semalam, ibu kepada tiga cahaya mata itu turut memaklumkan pihak hospital telah menasihati keluarga agar bersedia menghadapi segala kemungkinan berhubung keadaan anaknya.
Dalam masa sama, Amyza tidak pernah berputus asa dan terus berusaha mencari rawatan alternatif sebagai ikhtiar tambahan untuk merawat penyakit anaknya.
“Doktor suruh pihak keluarga bersedia. Ya Allah tolonglah kepada sesiapa yang bijak, pandai dan hebat dalam bidang selain hospital, tolong saya malam ini (Ahad),” luahnya.
Malah sejak malam tadi, Amyza turut berkongsi keadaan terkini Andre yang dilihat agak lemah selain turut mencari ikhtiar alternatif.
Dalam menghadapi ujian berat ini, Amyza turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk rakan-rakan artis yang telah menghulurkan sumbangan bagi membantu menampung kos rawatan anaknya.
Ibarat jatuh ditimpa tangga, Amyza sekali lagi diuji apabila anak keduanya, Andrian Adam disahkan menghidap kanser tulang, baru-baru ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Sumber & Kredit Foto: Instagram Amyza Aznan