
Penyanyi dan pelakon, Athalia mengakui kualiti nyanyiannya masih belum berada di tahap terbaik jika dibandingkan dengan peserta lain yang bertanding dalam program realiti, Talk To My Manager.
Menurut Athalia, dia juga berasakan dirinya belum layak untuk membuat persembahan di pentas-pentas besar.
“Bukan saya nak merayu simpati atau apa pun. Saya tahu saya ni tak layak untuk menyanyi atas pentas pertandingan.
“Perkara ini pun sudah dimaklumkan oleh ibu saya sendiri ketika program bersiaran langsung,” tulisnya di aplikasi Thread.
Bagaimanapun, anak kepada penyanyi dan pelakon, Sharifah Zarina itu terkilan apabila usahanya memberikan yang terbaik selama dua minggu ini masih belum pernah mendapat sebarang pujian.
“Namun, saya sudah cuba untuk menambah baik kekuatan persembahan saya dari minggu pertama dan masih tak dapat sebarang pujian walaupun sedikit.
“Ia bukan sahaja membuatkan saya mempersoalkan nilai saya malah, ia seakan menyiksa saya dari segi mental. Industri ini tidak pernah adil,” kongsinya lagi.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen tampil memberikan kata-kata semangat serta menasihati Athalia untuk terus mencari kekuatan sebenar sebagai seorang penghibur.
“Mungkin belum kena dengan genrenya. Teruskan mencuba ya.
“Saya rasa awak ada potensi yang besar. Awak cuma perlu abaikan komen-komen negatif tu dan fokus pada feedback yang membina untuk improve. Nabila Razali contoh yang terbaik. Masa pertandingan pertama dia dulu, dia terima banyak kritikan. Tapi akhirnya dia buktikan semua orang salah. Tengoklah dia sekarang! Awak tak perlu jadi vokalis yang power pun untuk jadi bintang dalam industri muzik.”
“Awak seorang yang berbakat besar. Jangan pernah lupakan itu.
“Saya rasa awak telah melakukan persembahan yang sangat baik Ahad lalu. Awak sudah banyak improve. Jangan putus asa. Nilai semula komen-komen daripada juri dan buat yang terbaik pada minggu hadapan. Yang penting jadi diri sendiri,” antara komen netizen.
Terdahulu, persembahan Athalia menerusi rancangan realiti hiburan berkenaan setakat ini menerima reaksi pelbagai peminat.
Talk To My Manager merupakan program realiti nyanyian yang menghimpunkan peserta daripada kalangan anak-anak selebriti tempatan.
Ia bersiaran secara langsung setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria serta boleh distrim menerusi Astro One dan sooka.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Sumber & Kredit Foto: Instagram & Thread Athalia