
Selepas selamat mendirikan rumah tangga, suami kepada primadona Erra Fazira, Ezwan Zain akui bukan dirinya sahaja yang perlu biasakan dengan dunia glamor selebriti, malah anaknya, Dania Sofea turut merasai tempias tersebut.
Menurut Ezwan, dia bersyukur kerana Erra banyak memberikan tunjuk ajar agar mereka sekeluarga dapat membiasakan diri dengan suasana baharu ini.
“Alhamdulillah, saya juga banyak mengambil pesan dan tunjuk ajar daripada Erra juga. Jadi, kita nasihatkan anak-anak untuk terus fokus dalam apa sahaja perkara yang sedang mereka lakukan di dalam hidup.
“Teruskan belajar dan jangan terlalu terkesan dengan suasana baharu ini. Mungkin perkara seperti ini biasa dalam dunia selebriti.
“Namun, saya bersyukur kerana kedua-dua anak kami sangat matang dan mereka boleh beradaptasi dengan suasana ini. Mereka tidak terlalu terkesan dengan spotlight yang mereka terima saat ini,” katanya kepada MH.
Dalam masa sama, Erra percaya dia dan suami perlu memainkan peranan sebaiknya agar tiada pihak berasa kurang selesa dengan situasi tersebut.
“Saya rasa suasana seperti ini sedikit sebanyak memberikan kejutan kepada Sofia. Lagipun, ini merupakan perkara baharu buat dirinya.
“Alhamdulillah, ayahnya juga dapat memberikan kefahaman kepada Sofea untuk menerima dan melihat hal ini sebagai salah satu laluan di dalam kehidupan.
“Ia juga bukanlah sesuatu perkara yang perlu kita berikan penekanan sangat. Sama juga seperti Aleesya, ada kalanya berlaku perkara yang positif dan negatif.
“Jadi, kita pesan kepada keduanya untuk terus kekal kuat dan ini adalah lumrah di dalam dunia selebriti. Ada yang suka dan ada yang tak suka kita.
“Harapnya kereka tabah. Namun, biasalah buat anak-anak remaja. Ada kalanya mereka juga terkesan bila ada komen-komen negatif, jadi tugas kita untuk berikan mereka kefahaman,” kongsinya lagi.
Pasangan raja sehari ini berkata demikian ketika ditemui di majlis resepsi kedua yang berlangsung di Grand Hyatt Regency, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Sementara itu, Ezwan turut berharap masyarakat lebih bertimbang rasa dalam melontarkan pandangan terhadap keluarganya.
“Saya harap sangat orang-orang di luar sana dapat terus memberika komen-komen yang positif dan membina buat kami dan anak-anak,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Ezwan turut meluahkan rasa syukur apabila majlis resepsi kedua yang diadakan untuk meraikan sahabat terdekat berjalan lancar.
“Sebenarnya kita nak adakan majlis yang lain daripada majlis-majlis sebelum ini. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Antara kelainannya kita tak pakai satu bunga-bungaan pun di majlis ini.
“Seperti yang anda dapat lihat juga, Erra turut menari pada malam ini. Selebihnya majlis ini agak minimal, santai dan dihadiri oleh sahabat-sahabat istimewa,” akhirinya.
Sekadar informasi, Erra dan Ezwan bernikah di Kampung Melayu Subang, Shah Alam pada 12 Disember lalu.
Sebelum ini, Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan vokalis KRU, Datuk Yusry Abdul Halim, namun bercerai pada 2006 selepas tiga tahun berkahwin.
Erra kemudiannya bertemu jodoh dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 2007 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, sebelum berpisah pada 2014.
Ezuan pula sudah lapan tahun bergelar duda dan mempunyai seorang cahaya mata perempuan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini