Berita

Amyza Aznan Hilang Sumber Kekuatan Selepas Pemergian Anak Sulung, Perlu Masa Pulihkan Semangat Selepas Lalui Dugaan Berat

Share

Pelakon Amyza Aznan mengakui dirinya memerlukan ruang dan masa untuk memulihkan kembali semangat selepas pemergian cahaya mata sulung, Allahyarham Andre Mikhail, malam tadi.

Menurut Amyza, dugaan yang dilaluinya ketika ini amat berat, lebih-lebih lagi apabila anak keduanya, Adrian Adam, turut disahkan menghidap kanser tulang.

“Tahun lepas, dia Andre seorang sahaja yang sakit. Tahun ini, Adrian Adam pula disahkan kanser. Malah, Andre pula pergi tinggalkan saya. Rasanya memang sangat perit.

“Untuk hari ini, saya belum nampak lagi sumber kekuatan itu. Maafkan bila saya cakap begini. Mungkin ada orang yang tak setuju dan minta saya move on dan terima qada’ dan qadar Allah.

“Itu mungkin apa yang anda rasakan. Bagaimana dengan apa yang saya rasa pula? Namun, saya tahu satu hari nanti, saya pasti akan bangkit semula,” katanya kepada MH.

Amyza berkata demikian ketika ditemui selepas selesai proses pengebumian jenazah Andre Mikhail di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, Ampang pada Selasa.

Terdahulu, Andre yang menghidap kanser paru-paru sejak setahun lalu selamat dikebumikan kira-kira jam 11 pagi tadi.

Dalam pada itu, Amyza turut meluahkan rasa ralat kerana tidak berada di sisi anaknya ketika arwah menghembuskan nafas terakhir.

“Arwah tahu saya seorang ibu yang sentiasa melindungi dan berkepit dengan anak-anak. Dia juga tahu saya penyedih orangnya.

“Mungkin dia tak nak saya tengok saat dia pergi itu. Dia mungkin risau saya tak boleh nak melupakan dan move on. Arwah pergi ketika saya balik mandi.

“Sudah tentu saya rasa agak ralat. Sebagai ibu, saya nak ada bersama saat dia menghembuskan nafas yang terakhir. Mungkin tiada rezeki dan saya reda,” katanya lagi.

Kenangan Seorang Anak Yang Tinggi Adabnya

Mengenang keperibadian Allahyarham, Amyza menyifatkan Andre sebagai seorang anak yang sangat lemah lembut dan penyayang terhadap keluarga.

“Tiada ibu yang tak puji anak. Dia seorang anak yang tidak pernah marah dan merungut. Antara dia dan adik beradik pun tak pernah bergaduh walaupun sedikit.

“Tak pernah naik suara dan mereka sayang antara satu sama lain dari kecil sehingga besar.

“Walaupun ketika keadaannya sedang nazak, jika ada tetamu yang datang, dia tetap melemparkan senyuman. Dia sangat menghormati orang lain dan tinggi adabnya.

“Banyak ciri istimewa yang ada di dalam dirinya. Kalau saya ingat semula, saya sendiri akan sakit. Saya bukan tak reda, cuma rindu,” kongsinya.

Dalam masa sama, ibu kepada tiga cahaya mata itu turut menzahirkan rasa syukur apabila segala urusan pengebumian anaknya berjalan lancar dan dipermudahkan.

“Alhamdulillah urusan pada hari ini sangat mudah. Rezeki Andre Mikhail kerana dapat doa dan sokongan daripada orang ramai,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf