Categories: Berita Hiburan

“Amira & Fatima Sangat Gembira Bersama, Tak Nampak Kekok,” – Fattah Amin

Share

Pelakon Fattah Amin meluahkan rasa syukur dan teruja melihat hubungan mesra yang semakin terjalin antara isterinya, Amira Othman, dan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya.

Menurut Fattah, meskipun mereka masih dalam proses menyesuaikan diri sebagai keluarga baru, Amira menunjukkan sikap tanggungjawab dan kasih sayang yang semula jadi terhadap Fatima.

“Kami pun baru sahaja berkahwin dan hanya follow the flow sahaja. Saya nampak Amira baru sahaja menyesuaikan diri. Begitu juga dengan Fatima.

“Namun, apa yang saya nampak, mereka sangat gembira bila bersama. Kami sama-sama jalani kehidupan ini dengan gembira. Sejak sebelum berkahwin lagi, saya nampak Amira juga sukakan budak-budak.

“Amira sangat rapat dengan anak-anak buahnya. Dia tak nampak kekok,” katanya kepada MH.

Fattah dan Amira ditemui ketika menghadiri majlis minum petang anjuran Usanita TV (UTV) yang berlangsung di Ukay’s Hills, Ampang, baru-baru ini.

Amira Syukur, Teruja

Bagi Amira sendiri, dia mengakui berasa teruja dan bersyukur dapat mengenali Fatima dengan lebih dekat selepas mereka mendirikan rumah tangga.

“Saya okay sahaja dengan Fatima. Dia anak yang sangat jujur. Saya rasa anak-anak lain juga begitu. Dia juga seorang yang periang, bijak dan petah berkata-kata.

“Fatima juga sangat mengambil berat tentang orang-orang di sekeliling. Kalau ada makanan, dia akan berkongsi dengan orang lain. Dia sangat manja terutama sekali bersama ayahnya. Tak nak berenggang langsung.

“Bila melihat ikatan tersebut, saya yakin figura seorang bapa ini sangat penting dalam kehidupan seorang anak terutamanya anak perempuan.

“Saya pun sudah terbiasa dengan anak-anak buah saya. Jadi, saya rasa tiada masalah. Fatima juga seorang anak yang cheeky,” kongsinya.

Tambah Amira lagi, dia akan terus berusaha memastikan hubungan kekeluargaan mereka kekal harmoni dan bahagia.

“Alhamdulillah saya rasa Fattah seorang ayah yang sangat baik. Bila saya ada di dalam hidup Fattah dan Fatima, saya ingin menjadi orang yang memberi kebaikkan.

“Saya hanya mengharapkan yang baik-baik sahaja,” katanya lagi.

Selain diraikan sebagai pasangan pengantin baharu, kehadiran Fattah dan Amira di acara tersebut juga adalah untuk meraikan kejayaan telefilem Poskad Cinta Dari Auckland serta lagu runut bunyi (OST) bertajuk Always Will nyanyian Amira sendiri.

Menurut Pengasas Usanita Sdn. Bhd., Datuk Adzliana Prof. Dato’ Sri Dr. Hasan atau Datuk Nana, karya pertama di bawah Usanita Entertainment, cabang kreatif di bawah platform UTV (Usanita TV) itu telah menerima sambutan luar biasa.

“Hari ini kita meraikan pasangan Fattah dan Amira yang juga wajah rasmi Usanita Group, selain memperkenalkan lagu pertama di bawah Usanita Entertainment iaitu Always Will nyanyian Amira yang dijadikan runut bunyi (OST) telefilem Poskad Cinta Dari Auckland.

“Telefilem ini menerima sambutan luar biasa walaupun baru dilancarkan pada 28 Ogos lalu. Kami menerima lebih 20.1 juta tontonan di aplikasi UTV dan kesemua platform media sosial.

“Jumlah tontonan terus meningkat, membuktikan kandungan tempatan masih mendapat tempat di hati penonton,” katanya.

Telefilem Poskad Cinta Dari Auckland arahan Izuan Mokhtar turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Fattah Amin, Amira Othman, Irfan Haris, Bell Ngasri, Umie Aida dan Izuan Mokhtar.

Telefilem ini boleh ditonton secara eksklusif di aplikasi UTV yang menampilkan pelbagai kandungan tempatan berkonsep kekeluargaan, cinta dan nilai masyarakat.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf