Hiburan

“Ambillah, Makanlah…” – Azza Elite Hulur Rezeki, Sedekah ‘Kotak Makan Kek Za’ Bantu Orang Susah

Share

Pelakon dan penyanyi, Azza Elite, atau nama sebenarnya Noor Azzarima Zawari, menyuarakan keprihatinannya terhadap golongan kurang berkemampuan dengan menyumbangkan pelbagai bahan makanan asas secara percuma kepada sesiapa yang memerlukan.

Menerusi hantaran di Instagram, Azza memaklumkan, dia ada menyediakan satu sudut khas di premis perniagaannya dengan bahan asas seperti beras, mi segera, minyak masak, gula dan lain-lain lagi demi membantu mereka yang terkesan.

“Para rider yang tidak cukup duit nak beli makanan, ambillah bahan asas dekat kedai saya. Ambil sahaja dan makan.

“Kalau nak telur, bagitahu dekat saya. Saya tak letak situ sebab takut pecah Adam main. Jumpa Ayu atau Haziq. Lokasinya di Residensi Bistaria, Block A,” tulisnya.

Jelas Azza lagi, inisiatif ini lahir daripada rasa syukur atas sambutan positif terhadap perkembangan bisnes ketika menjual kek di Melaka, baru-baru ini.

“Hari ini (Ahad), sudah bagi kepada dua orang rider dan seorang tukang mesin rumput. Jadi, ada lebih lagi. Hari Selasa pula kita sambung sebab Isnin cuti,” kongsinya lagi.

Rezeki Dikongsi, Nikmat Disyukuri

Pada masa sama, Azza berkongsi bahawa inisiatif ‘Kotak Makanan Kek Za’ itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi meringankan beban golongan sasaran.

“‘Kotak Makanan Kek Za’ untuk semua. Rezeki berniaga dekat Melaka hari itu. Terima kasih orang-orang Melaka beli kek saya.

“Dapatlah berbahagi dengan orang-orang yang benar-benar susah. Kita makan mewah tapi ada orang lain yang susah nak makan pada zaman ini. Ada rezeki, saya bagi lebih lagi,” tulisnya lagi.

Usaha murni Azza itu nyata menyentuh hati ramai. Di ruangan komen, rakan selebriti serta para pengikut membanjiri dengan kata-kata pujian dan doa agar Azza terus dimurahkan rezeki.

“Semoga Tuhan lindungi bos saya dan semoga terus sukses.”

“Terima kasih berkongsi rezeki, orang baik.”

“Semoga perniagaan Azza bertambah maju.”

“Semoga awak dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan urusan dunia dan akhirat.”

“Terima kasih Kak Aza masih sudi bantu kami yang kadang nak makan pun kena tengok baki duit yang ada,” antara komen yang ditinggalkan.

Sebagai info, selain aktif sebagai penyanyi dan pelakon, Azza turut bergiat dalam dunia perniagaan menerusi produk seperti sejadah dan kek coklat homemade yang mendapat sambutan ramai.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Sumber & Kredit Foto: Instagram Azza Elite

Published by
Aizam Manaf