
Kagum dengan semangat juang pesakit kanser kanak-kanak di bawah kelolaan Pertubuhan Kebajikan Adina (Adina), pelakon Putra Amaris bersama syarikat pengeluar produk pencuci, Biofitrah (M) Sdn Bhd, terus komited mengumpul dana bagi memenuhi keperluan mereka.
Antara inisiatif utama adalah kempen “beli sambil menderma” menerusi produk pencuci dan pelembut pakaian berlabel PowerRein dan SoftRein.
Melalui pembelian ini, masyarakat bukan sahaja mendapat produk berkualiti, malah secara tidak langsung menyumbang kepada golongan yang memerlukan.
Amaris yang juga duta Biofitrah, berharap program amal ini mendapat sambutan luar biasa dan mampu mengurangkan beban anak-anak yang menghidap kanser.
“Ini merupakan tanggungjawab yang saya galas bersama Biofitrah. Jika sebelum ini Biofitrah bersama-sama saya dalam program amal sempena Ramadan, kerjasama ini kami teruskan untuk membantu pesakit kanser kanak-kanak.
“Apa yang kami lakukan ini bukanlah kerana bisnes semata-mata, tetapi juga sumbangan amal yang berterusan.
“Untuk itu, kami amat memerlukan sokongan daripada mana-mana syarikat korporat, masyarakat dan pihak media bagi menjayakan program ini sekaligus meringankan beban anak-anak yang sedang menderita menghidap kanser,” katanya.
Pelakon drama Bintang Hatiku ini berkata demikian ketika Majlis Pelancaran dan Perasmian Pembukaan Kilang Kedua Biofitrah di Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Amaris turut tidak mampu menahan rasa sebak apabila bertemu sendiri dengan anak-anak yang menghidap kanser, menyifatkan mereka sebagai insan luar biasa yang sangat tabah.
“Sungguh besar ujian buat mereka. Kalau saya di tempat mereka, entah macam mana. Belum tentu saya boleh sekuat mereka.
“Dalam masa yang sama, ini juga ujian buat kita yang dilahirkan sempurna, sama ada kita bersyukur atau tidak. Adakah kita peka dan prihatin terhadap insan-insan lain yang memerlukan bantuan kita.
“Jadi atas dasar itulah, saya dan Biofitrah mengambil inisiatif untuk berkongsi rezeki dengan mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Biofitrah (M) Sdn Bhd, Aman Rasyidi Mohd Noor, menjelaskan bahawa usaha ini sejajar dengan komitmen syarikat dalam menganjurkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Sebenarnya sudah lebih tiga tahun Biofitrah aktif terlibat dalam kerja amal. Cuma sebelum ini kami banyak bersama badan-badan NGO (Pertubuhan bukan kerajaan) misalnya membantu mangsa banjir.
“Sejak tahun lepas, kami mula bersama Amaris. Amaris bukan sahaja sebagai duta, tetapi juga ‘tulang belakang’ kami dalam menganjurkan program-program amal.
“Saya percaya, dalam kita berniaga, pasti ada bahagian orang lain. Setiap pembelian Softrein RM1 akan diserahkan kepada Adina. Manakala setiap pembelian PowerRein RM1 akan disumbangkan kepada Muslim Care.
“Insya Allah, selepas ini kami juga merancang untuk adakan program CSR artis-artis veteran yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Adina, Nurdieana Mohd Mardzi, melahirkan penghargaan atas kerjasama dan keprihatinan Biofitrah serta Amaris terhadap anak-anak di bawah kelolaan mereka.
“Di kesempatan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Biofitrah dan Amaris kerana sentiasa peka dengan anak-anak bawah Adina. Sebelum ini sudah beberapa kali kami bekerjasama.
“Bercakap tentang anak-anak kanser ini, terdapat pelbagai jenis kanser yang mereka hidap seperti kanser darah, otak, mata, saraf, buah pinggang dan sebagainya,” katanya.
Setakat ini, lebih 350 pesakit kanser kanak-kanak berada di bawah naungan Adina.
Sesiapa yang ingin membuat sumbangan untuk tabung bantuan lampin pakai buang dan susu bernutrisi kanak-kanak kanser, boleh berbuat demikian menerusi nombor akaun 8605749460 (CIMB Islamic).
Terdahulu, majlis pelancaran kilang kedua Biofitrah di Nilai Utama Enterprise Park telah disempurnakan oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Negeri (Pembangunan) MARA Negeri Sembilan, Siti Roziah yang mewakili Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan MARA, Zahari Aziz.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran NGO seperti Muslim Care Malaysia Society, Adina Charity Circle, serta anak-anak tahfiz dari Maahad Tahfiz Al Quran Misbahul Falah.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
@mediahiburanofficial Penampilan Putra Amaris bersama bekas mufti wilayah persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Majlis Pelancaran & Perasmian Kilang Biofitrah. Jalan terus Am! #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ original sound – Media Hiburan