
Bekas penyampai berita TV3, Saiful Nizam Ismail menyifatkan peluang mengacarakan tiga majlis utama perkahwinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama pasangan, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz di Istana Alam Shah, Klang, sebagai satu penghormatan luar biasadalam kerjayanya.
Menurut Saiful Nizam, dia tidak pernah menyangka akan menerima panggilan rasmi daripada pihak Istana Selangor untuk mengendalikan majlis penuh adat dan protokol itu.
“Sewaktu menerima panggilan itu, saya mengambilnya sebagai satu cabaran dalam kerjaya saya.
“Meskipun sudah acap kali menjadi pengacara majlis rasmi mahupun perkahwinan termasuklah melibatkan kerabat diraja. Namun, tanggungjawab kali ini amatlah berbeza kerana individu ini ialah Raja Muda Selangor.
“Saya berpeluang menjadi sebahagian daripada saksi sejarah manis ini. Bagi saya, ini bukan sekadar tugasan biasa, tapi satu amanah besar kerana melibatkan istiadat diraja yang penuh tradisi dan istimewa,” katanya.
Walaupun berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang penyiaran dan pengacaraan, Saiful mengakui tetap berasa gementar dan berhati-hati dalam memastikan setiap tutur kata disampaikan dengan tertib sepanjang majlis berlangsung.
“Saya banyak membuat rujukan dan latihan terlebih dahulu supaya tidak tersilap. Malah pengalaman mengendalikan beberapa majlis di istana juga memberi saya peringatan supaya jangan buat silap,” katanya lagi.
Saiful Nizam menambah, berkat tunjuk ajar daripada pegawai protokol istana serta sokongan rakan pengacara, bekas penyampai berita RTM,
Hazleen Abd Aziz, telah membantu melancarkan perjalanan majlis bersejarah itu.
Saiful Nizam yang kini bergelar pengacara bebas dan penasihat komunikasi korporat serta media, menganggap pengalaman itu sebagai rezeki dan anugerah terbesar dalam hidupnya selepas bersara daripada dunia penyiaran TV3.
“Saya anggap ini rezeki dan penghormatan yang amat besar daripada Tuhan. Dapat berdiri di hadapan Sultan Selangor dan Permaisuri Selangor serta seluruh kerabat diraja adalah momen yang saya tak akan lupakan sepanjang hidup.
“Ramai yang mesej ucap tahniah. Saya bersyukur untuk setiap peluang dan rezeki,” katanya yang telah diberi kepercayaan untuk mengacarakan tiga majlis utama diraja, iaitu Istiadat Akad Nikah, Istiadat Persandingan, dan Santapan Diraja.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini