Selebriti serba boleh, Alif Satar menjadikan aktor berbakat besar, Bront Palarae sebagai penanda aras dalam kerjaya lakonannya.

Bahkan, Alif yang popular menerusi drama bersiri Dia Semanis Honey ini mengimpikan untuk berlakon bersama idolanya itu, suatu hari nanti.

“Saya menjadikan Bront sebagai sumber inspirasi saya.

“Dia punya teknik dan kaedah serta hala tuju yang tersendiri dalam kerjayanya. Lakonannya juga ada style.

“Jujurnya, saya sangat kagum dengan dia,” katanya pada Media Hiburan.

Bukan itu sahaja, selebriti berusia 26 tahun ini juga meletakkan impian untuk bergandingan dengan aktres popular, Fasha Sandha.

IKLAN

“Lakonannya sangat dramatik, malah dia mampu menjiwai sesuatu watak dengan baik sekali,” katanya.   

Alif Satar Puji Fasha Sandha

 

IKLAN

Pada masa sama, bintang drama bersiri Tundukkan Playboy Itu kagum dengan individu yang menjadikan kerjaya lakonan sebagai punca pendapatan utama.

“Saya bukanlah sepenuhnya bekerja dalam bidang lakonan. Saya juga menyanyi dan mengacara.

“Apabila mengacara atau menyanyi, saya akan mendapat bayaran walaupun hanya bekerja dalam tempoh yang singkat.

“Tapi untuk lakonan bukan begitu. Ia betul-betul ambil masa yang panjang untuk siapkan sesuatu naskhah itu,” katanya.

Tidak hanya itu, pemilik nama sebenar, Muhammad Alif Mohd Satar ini turut mengharapkan kepelbagaian watak apabila mengambil sesuatu karya.

IKLAN

“Saya tak ada masalah untuk mencuba memenuhi sesuatu watak. Insya-ALLAh, saya akan melakukan yang terbaik.

“Saya juga akan melakukan kajian terhadap perwatakan yang diminta,” katanya.

Terbaru, Alif muncul dalam filem televisyen Memori Pajeri Nanas bergandingan dengan Tiz Zaqyah dan Siti Saleha serta boleh ditonton menerusi Astro First Eksklusif (saluran 480) mulai 20 Julai lalu.

“Walaupun saya terpaksa belajar sesuatu yang baru, tapi saya enjoy everything.

“Lagipun, cerita ini tampil dengan karya yang segar dan penuh kelainan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Alif juga bakal muncul dalam drama bersiri, Red Velvet bersama Neelofa, kelak.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI