
Pelakon Siti Saleha menzahirkan rasa syukur apabila mengumumkan dia dan suami bakal menimang cahaya mata lelaki tidak lama lagi.
Khabar gembira itu dikongsikan sendiri oleh Saleha menerusi hantaran terbaharu di laman Instagram miliknya.
Menerusi perkongsian sama, Saleha berkongsi momen-momen indah sewaktu majlis Mitoni (mandi bunga) yang diadakan oleh pihak keluarga bagi meraikan kehamilan pertamanya.
“Alhamdulillah Majlis Mitoni (mandi bunga) dan gender reveal berjalan lancar. Kami bakal menyambut kelahiran bayi lelaki,” tulisnya pada ruang kapsyen.
Dalam majlis berkenaan, suaminya Joshua Fitton dilihat menjadi individu pertama yang memulakan acara persiraman sebelum disusuli oleh ahli keluarga lain bagi melengkapkan adat tradisi tersebut.
Majlis Mitoni merupakan upacara adat Jawa yang biasanya diadakan ketika usia kandungan mencecah tujuh bulan, khusus untuk kehamilan pertama.
Tujuan utama majlis ini adalah bagi mendoakan keselamatan ibu dan bayi dalam kandungan, dari tempoh kehamilan sehingga proses kelahiran.
Ia juga menjadi lambang kasih sayang keluarga dan harapan agar segalanya dipermudahkan.
Pelakon filem Dia Imamku itu mengenakan persalinan kebaya lepas dan batik Jawa, menyerikan lagi suasana majlis penuh tradisi itu.
Majlis tambah bermakna apabila tetamu melepaskan kepulan asap berwarna birusebagai simbol bahawa pasangan ini bakal dikurniakan bayi lelaki.
Sekadar informasi, Saleha dan Joshua mendirikan rumah tangga pada 15 Februari lalu dalam majlis tertutup yang diadakan di sebuah resort di Janda Baik, Bentong, Pahang.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Sumber & Kredit Foto: Instagram Siti Saleha