
Ahli perniagaan Kelantan, Dr Afif Mohd Ridzwan memuji keenakan ayam goreng hasil air tangan pelakon dan pelawak Amir Raja Lawak, yang disifatkannya setaraf dengan jenama antarabangsa.
Menurutnya, rasa ayam tersebut bukan sahaja enak malah tidak terlalu berminyak, menjadikannya pilihan yang mampu bersaing dengan produk luar.
“Alhamdulillah, Allah bagi sedap. Rasanya seperti ayam goreng jenama antarabangsa. Malah lebih sedap dan tidak terlalu berminyak.
”Insya-Allah, kekalkan kualitinya agar sentiasa terjaga, Amir memang boleh pergi jauh dalam bisnes ini.
”Selama ini saya hanya dengar orang ramai memuji kesedapan ayam gorengnya, kali ini saya yang makan sendiri,” katanya yang berkunjung ke premis Amir, baru-baru ini.
Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain dan memiliki 16 cawangan klinik, turut memuji semangat juang Amir yang tidak pernah berputus asa dalam dunia perniagaan.
Turut sama-sama memberi sokongan ialah pelakon dan aktivis masyarakat, Lando Zawawi.
Menurut Dr Afif lagi, untuk terus berjaya dalam bisnes, Amir perlu membina pasukan kerja yang kuat.
“Dalam bisnes, antara perkara penting adalah perlu bijak menguruskannya. Misalnya Amir perlu membina team yang kuat.
Team yang kuat adalah aset dan pemangkin kejayaan dalam mana-mana bisnes. Kalau tiada team, kita akan jadi letih, stres dan apa yang dilakukan kurang berkesan.
”Kena berani untuk bergerak dan melepaskan sebahagian tugas agar sesuatu yang lebih besar akan datang, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, Amir yang sudah setahun mengusahakan bisnes ayam goreng di bawah jenama APFC di Medan Usahawan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, tidak mudah mendabik dada dengan pujian yang diterima.
Sebaliknya, dia sentiasa berusaha memperbaiki kekurangan yang ada.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada Dr Afif sudi singgah hari tu. Dari komen doktor, saya lihat dari sudut ‘rasa sedap dan berbaloi’.
”Saya sebenarnya ajar diri supaya tak terbang dengan pujian, dan tidak juga tumbang dengan kejian,” ujarnya.
Amir turut menjelaskan, keistimewaan rasa ayam gorengnya terletak pada teknik ramuan perapan dan bancuhan tepung yang dihasilkan melalui proses R&D (research and development) yang dijalankan secara teliti.
“Saya dalam perancangan untuk mempelbagaikan menu yang menepati cita rasa pelanggan.
”Bukan itu sahaja, saya nak cantikkan lagi persekitaran kedai serta bagi pelanggan lebih selesa,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Amir turut bergandingan bersama Jiggy sebagai hos digital program Muzikal Lawak Superstar.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini