
Selepas mendirikan rumah tangga buat kali kedua, penyanyi Ina Naim memanjatkan rasa syukur kerana dipertemukan dengan seorang suami yang sangat bertanggungjawab serta mengambil berat tentang anak-anak.
Menurut Ina atau nama sebenarnya, Nordiana Md. Naim, segala yang berlaku dalam hidupnya kini merupakan aturan terbaik daripada Allah SWT.
Malah, dia juga bersyukur kerana suaminya, Muhammad Khairul Rizal kini menjadi individu bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak di rumah.
“Alhamdulillah, segalanya adalah takdir daripada Allah juga. Allah berikan saya suami yang terbaik dan sangat membantu.
“Allah sudah tulis siap-siap perjalanan hidup kami. Arwah suami meninggal ketika anak-anak kami sedang meningkat remaja.
“Tamat sahaja pembelajaran tentang Allah dan agama bersama arwah suami, kini adalah masa untuk mereka mendapat pendedahan tentang dunia luar.
“Kini, mereka belajar pula daripada daddy yang juga merupakan seorang jurutera. Suami saya juga seorang tenaga pengajar.
“Dialah yang banyak mengajar anak-anak untuk tahap yang seterusnya,” katanya kepada MH.
Ina berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media program realiti Talk To My Manager, baru-baru ini.
Pada masa sama, Ina turut menafikan dakwaan kononnya anak-anak hanya mendapat pendedahan tentang dunia luar selepas dia kembali mendirikan rumah tangga bersama Khairul.
“Bukan begitu. Anak-anak kini belajar ilmu ditahap sekolah menengah pula. Mereka turut diajar tentang berdikari, bisnes dan cabang-cabang baharu.
“Yang penting, jangan tinggal ilmu yang diajar oleh arwah ayah dahulu. Bila kita ada agama, insha-Allah yang lain itu akan jadi lebih mudah.
“Bila kita jaga solat dan jaga hubungan dengan ibu ayah, Allah akan permudahkan segalanya. Yakinlah dengan perancangan Allah,” ujarnya lagi.
Selain itu, Ina memaklumkan dia kini aktif menjalankan perniagaan di platform media sosial.
“Kini saya sibuk berniaga di TikTok. Saya juga bakal mengeluarkan beberapa produk baharu tidak lama lagi.
“Mungkin Allah sudah takdirkan saya untuk menceburi bidang bisnes berbanding menyanyi.
Doakanlah yang terbaik buat kami,” akhirinya.
Terdahulu, Ina mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama Khairul pada 8 November tahun lalu.
Sebelum ini, Ina pernah berkahwin dengan penyanyi Suhaimi pada 12 Oktober 2007, namun Suhaimi menghembuskan nafas terakhir pada November 2023.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Salman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini