
Hanya kerana berkongsi informasi mengenai batik tempatan kepada selebriti antarabangsa, Ariana Grande dan Cynthia Erivo, penyanyi Aisha Retno tidak mengangka isu tersebut bakal menimbulkan isu pertikaian pandangan di antara netizen Malaysia dan Indonesia.
Bagaimanapun, Aisha enggan mengeruhkan lagi keadaan kerana merasakan dirinya tiada membuat sebarang kesalahan.
“Saya mempunyai darah Indonesia dan Malaysia. Walaupun daripada kad pengenalan, saya merupakan orang Malaysia tapi di rumah, kami tetap mengamalkan budaya Indonesia.
“Malah, ibu saya merupakan orang asal sana. Jadi, apabila perbalahan ini berlaku, saya hanya mampu melihat sahaja. Pandangan masing-masing ada yang boleh diterima dan ada yang tidak.
“Yang mana kasar dan pahit, saya hanya ambil positif sahaja dan anggap ia sebagai pembelajaran,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Sutera itu berkata sedemikian ketika ditemui di Sidang Media Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37), di Menara KL, baru-baru ini.
Aisha turut mendedahkan dia ada menerima mesej berbaur ugutan daripada segelintir individu yang merasakan seni ini sepenuhnya berasal daripada Indonesia.
“Saya juga ada menerima DM yang agak ekstrem dan berbentuk ugutan. Malah, pada awalnya, saya merancang untuk membuat video penjelasan.
“Namun, saya merasakan segala respon balas yang saya buat di Tik Tok dan DM, sudah memadai,” ujarnya.
Katanya lagi, dia juga ada bertanya kepada rakan-rakan Indonesia mengenai kenyataannya itu dan mereka tidak melihatnya sebagai satu masalah.
“Malah, saya juga ada bertanya kepada rakan-rakan Indonesia, adakah mereka melihat kenyataan saya itu sebagai satu isu? Mereka kata tiada salah langsung.
“Mereka memang tahu di Malaysia juga punya seni batik yang tersendiri. Mungkin ini juga akan menjadi pembelajaran buat saya pada masa hadapan untuk lebih berhati-hati untuk berkongsi sesuatu informasi.
“Walaupun orang kata saya tiada salah langsung namun, saya tak suka menyalahkan orang lain,” ujarnya lagi
Tambah Aisha, meskipun momen tersebut sepatutnya menjadi hari bersejarah buat dirinya, namun dia tetap menyifatkan setiap hal yang berlaku itu sebagai salah satu ruang untuk pembelajaran dan penambahbaikkan.
“Walau apapun orang kata, sama ada kata-kata negatif atau ugutan, saya ambil seperti angin lalu sahaja meskipun mental saya agak terkesan.
“Pada hari itu juga, saya dapat berjumpa dengan idola yang amat saya sanjung dalam hidup tetapi viral isu lain pula.
“Walaupun ada isu viral yang baik dan buruk, saya anggap ia anugerah Allah. Allah itu Maha Adil. Saya terima segalanya dengan baik.
“Nasihat saya, sebelum nak marah, pastikan berpandukan fakta yang betul. Zaman sekarang segalanya di hujung jari,” akhirinya.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini