
Dunia hiburan Bollywood digemparkan apabila Faisal Khan, adik kepada pelakon terkenal Aamir Khan, membuat keputusan mengejut untuk memutuskan semua hubungan dengan keluarganya.
Pengumuman itu dilakukan Faisal melalui satu notis umum dan hantaran di media sosial pada 18 Ogos lalu. Dalam kenyataan itu, Faisal menegaskan beliau tidak akan menuntut sebarang hak warisan atau elaun bulanan daripada abangnya serta tidak akan lagi tinggal di kediaman Aamir.
“Dengan hati yang berat tetapi keberanian yang baharu, saya ingin berkongsi bahawa saya telah memutuskan semua hubungan keluarga. Kehidupan saya kini memasuki fasa kebebasan, maruah dan pencarian diri,” katanya.
Langkah drastik itu dikatakan berpunca daripada pertikaian dalaman keluarga yang sudah lama berlarutan. Faisal mendakwa beliau pernah dikurung di rumah selama lebih setahun, dituduh menghidap penyakit skizofrenia, malah dihantar ke hospital psikiatri selama 20 hari tanpa kerelaan.
Selain itu, Faisal turut mendakwa dirinya pernah dipaksa mengambil ubat yang dicampurkan ke dalam makanan dan minuman. Beliau juga mendakwa tekanan memuncak selepas menolak cadangan perkahwinan yang diaturkan pihak keluarga.
Dalam satu wawancara, Faisal mendedahkan, “Saya dipaksa menjalani pemeriksaan mental hanya kerana saya menolak untuk berkahwin. Selepas itu, saya dilabel ‘gila’ untuk menutup cerita sebenar.”
Bagaimanapun, kenyataan Faisal itu disangkal keluarganya. Pihak Aamir Khan mengeluarkan kenyataan bersama yang menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai menyakitkan hati dan mengelirukan.
Menurut keluarga, segala keputusan yang pernah dibuat adalah berdasarkan pandangan pakar serta berlandaskan rasa kasih sayang terhadap Faisal. “Kami menyeru agar media tidak membesar-besarkan perkara ini dan menunjukkan empati terhadap situasi yang dihadapi,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, Faisal dilaporkan kini sedang memberi tumpuan terhadap karier seninya. Beliau mengumumkan bakal mengarahkan sebuah filem baharu yang disifatkan sebagai projek besar dengan penglibatan kira-kira 14 orang pelakon yang sudah menyatakan persetujuan terhadap skripnya.
Keputusan berani Faisal ini sekali gus membuka lembaran baharu buat dirinya, namun dalam masa yang sama menimbulkan persoalan besar mengenai sejauh mana benarnya dakwaan yang dilontarkan terhadap keluarga Aamir Khan yang selama ini dikenali sebagai antara keluarga paling berpengaruh dalam industri perfileman India.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan