
Penyanyi Misha Omar akui terharu dengan sokongan yang ditunjukkan peminat sepanjang lebih dua dekad bergelar anak seni.
Menurut Misha, sokongan daripada peminat, keluarga dan pihak media menjadi pemangkin semangat buat dirinya meskipun ada ketika dia berada seperti berada di titik terendah.
“Sepanjang 23 tahun ini, sudah tentu ada ketika saya mempersoalkan mengenai nilai saya di industri ini. Namun, anda semualah yang membuatkan saya terus melangkah sehingga hari ini.
“Ada ketika saya bertanya, adakah waktu saya di industri ini sudah tamat? Adakah ini tahunnya? Saya sebenarnya merelakan sahaja seandainya hal itu terjadi.
“Sebelum ini, saya pernah bagitahu yang saya perlu lembuat pilihan diantara saya perlu ikut suami bekerja atau teruskan kerjaya nyanyian.
“Ada ketika, saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya undur diri lebih-lebih lagi ketika suara saya hilang.
“Ada kalanya, saya takut namun, anda semua jadi penguat semangat saya,” katanya kepada MH.
Misha berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media lagu terbaharunya, Break, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta ini juga terkejut dengan sambutan pembelian tiket konsert solonya yang akan berlangsung pada September depan.
“Alhamdulillah, tiket untuk beberapa kategori utama telah habis dijual. Mereka ibarat pirana. Ada yang marah-marah sebab tiket cepat habis.
“Jangan risau, masih ada lagi tiket untuk kategori-kategori lain tapi jumlahnya terhad. Pada saya, ini adalah petanda yang sangat baik.
“Pada mulanya saya agak risau disebabkan lambakan konsert yang bakal berlangsung pada hujung tahun ini. Alhamdulillah responnya sangat baik.
“Saya nampak mereka ini benar-benar mahu bersama saya. Merekalah yang ingin saya raikan. Yang tidak dapat hadir, tak mengapa. Ada rezeki lain nanti,” ujarnya.
Mengulas mengenai persediaan konsert tersebut, Misha memaklumkan dia bakal memulakan latihan intensif bermula Ogos ini.
“Persiapan intensif bakal bermula 60 hari sebelum konsert bermula. Ketika ini, saya perlu diet dan rajin bersenam.
“Persediaan dari segi fizikal itu bukanlah sebab nak ramping semata tapi kena fit sebelum konsert berlangsung.
“Saya kena jaga pemakanan dari segi gula, minyak dan minuman berais. Saya juga perlu jalani latihan beban dan berlari. Segalanya akan bermula Ogos ini.
“Saya juga akan berguru dengan Datuk Syafinaz,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini