Berita

“Ada Kata Kena ‘Jilat Jin’, Tapi…,” – Aliff Syukri Dedah Satu Badan Naik Gatal-Gatal, Ulas Isu Dengan Diva AA

Share

Usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri mendedahkan keadaan kesihatannya yang terjejas secara tiba-tiba ketika sibuk berkempen untuk mencipta rekod jualan beg terpantas di media sosial, sejak beberapa hari lalu.

Menurut Aliff, seluruh badannya mengalami kegatalan luar biasa sehingga sukar untuk melakukan aktiviti seperti biasa.

“Ada orang kata saya kena jilat jin, tapi tak tahu waktu buat siaran langsung badan saya menggeletar.

“Bila berniaga macam-macam orang kata, ada orang buat dan sebagainya. Badan saya keseluruhan ada tompok-tompok.

“Tak boleh bangun tidur, sehinggakan isteri saya bawa pergi klinik semalam dan kena cucuk dua kali,” katanya.

Malah penyanyi lagu Abang Nak Tegur ini juga mengakui, ini kali pertama dia mengalami keadaan sedemikian dan berharap ia bukan berkait dengan sihir atau gangguan orang.

“Saya tak pernah kena begitu seumur hidup. Ini pertama kali saya kena memang gatal luar biasa.

“Kalau boleh saya tak nak orang kacau, dalam perniagaan hidup memang keras.

“Saya tak boleh cakap, tidak dapat jalan dengan stabil. Ini nampak normal sebab solekan, saya cuba kuatkan diri cuma takut berlarutan,” katanya lagi.

Aliff berkata demikian sejurus mengagihkan Jeruk Mangga dan tudung secara percuma di sekitar Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, hari ini.

Acara yang bermula sejak jam 12 tengah hari itu turut disertai isterinya, Datin Seri Shahida dan anak-anaknya.

Ulas Tindakan Diva AA

Dalam pada itu, Aliff turut memberikan reaksinya selepas terkesan dengan dakwaan beg keluarannya dipijak oleh selebriti kontroversi, Diva AA.

Tindakan itu disifatkannya sebagai keterlaluan dan seolah-olah tidak menghormati usaha orang lain.

“Janganlah macam itu. Kita bukan nak cari duit haram. Kalau tak suka dekat saya, bersemuka.

“Aku boleh maki tapi kalau buat, sama-sama naik saja. Aku tak maafkan, sampai mati aku cari kau.

“Aku tak nak saman kau sebab kau tiada duit. Dia acah-acah saja, tak suka jangan pijak saya dah la sakit,” katanya lagi.

Impian Cipta Rekod & Kongsi Rezeki

Mengulas lanjut mengenai acara awal hari ini, Aliff komited dengan kempen jualan langsung yang dijalankannya bagi mencipta nama dalam Malaysia Book Of Records bagi ‘Kutipan Jualan Bag Tangan Terpantas Melalui Penstriman Langsung’.

Sesi tersebut akan berlangsung menerusi platform tiktok miliknya jam 8.00 malam pada 3 Ogos ini.

“Hari ini saya berkempen untuk buat jualan terpantas dalam media sosial secara ‘underground’. Saya bagi jeruk mangga dan tudung percuma kepada pengunjung yang datang,” katanya.

Lebih mengujakan, Aliff juga menyatakan hasratnya untuk berkongsi rezeki sekiranya sasaran jualan berjaya dicapai.

“Sekiranya impian saya itu tercapai pada Ahad ini, saya berjanji akan menyumbang sebahagian hasil jualan kepada anak-anak yatim sebagai tanda kesyukuran,” katanya lagi.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH