
Pelakon Datuk Aaron Aziz sanggup mengetepikan rasa sakit demi menjayakan babak-babak aksi dan pertarungan dalam filem terbaharunya berjudul Banduan.
Menurut Aaron, walau apa pun yang berlaku, dia tetap mahu memberikan yang terbaik dan memastikan karya ini mencapai standard seperti filem asal, Kaithi, yang pernah mencetuskan fenomena di India.
“Dalam filem ini, saya bukan berlawan ‘one by one’ tapi saya perlu berhadapan dengan lima hingga 15 penjahat seorang diri. Babak berlawan itu semua berlaku pada waktu malam.
“Satu babak itu makan masa selama dua hari. Ada juga babak di mana pengarah minta saya untuk melakukannya dalam satu take sahaja. Secara keseluruhan, saya lakukan babak tersebut sebanyak tujuh kali.
“Sudah tentu saya ingin lakukan yang terbaik dan lebih lagi. Mungkin disebabkan faktor usia, selepas menjayakan babak tersebut, rasa sakit di sendi-sendi saya tak hilang.
“Sudah ambil ubat dan tampal koyok pun masih sama. Habis sahaja babak berlawan itu, saya terus masuk hospital. Katanya toksik dalam badan agak tinggi dan menyukarkan proses pemulihan.
“Badan saya perlu masuk air dan saya kena banyak minum air untuk pastikan saya buang air kecil untuk keluarkan toksik tersebut,” katanya kepada MH.
Aaron berkata demikian ketika ditemui pada acara tayangan perdana Banduan di TGV KLCC, Kuala Lumpur pada Selasa.
Turut hadir ialah bintang filem Tamil, Karthi Sivakumar, pelakon utama versi asal Kaithi.
Mengulas lanjut mengenai keadaannya pada waktu itu, Aaron memaklumkan dia terpaksa mengingkari nasihat doktor bagi memastikan jadual penggambaran tidak terganggu.
“Selepas empat drip air dimasukkan dan keadaan saya sudah kembali normal, doktor minta saya bercuti selama dua hari untuk berehat.
“Saya cakap tak boleh. Saya kena keluar hospital hari itu juga sebab malamnya masih ada penggambaran.
“Namun, itulah komitmen yang perlu ditunjukkan oleh seorang pelakon. Bila diberi kepercayaan untuk ketuai sesebuah projek, kita kena berkorban.
“Yang tak boleh, kita bolehkan juga. Asalkan kita boleh bangun dan berdiri, kita tetap shoot,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Aaron turut meluahkan rasa teruja apabila lakonannya dalam Banduan mendapat pujian secara peribadi daripada Karthi sendiri.
“Kami tak nak pengarah dan pelakon asal anggap kita rosakkan filem mereka. Namun, alhamdulillah, saya rasa kita berjaya.
“Ketika salah satu babak di dalam filem ini, Karthi tepuk peha dan puji lakonan saya. Saya rasa bangga kerana tidak menghampakan dia,” akhirinya.
Filem Banduan bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 6 November depan.
Selain Aaron, filem ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Datuk Afdlin Shauki, Adlin Aman Ramli, Hushairi Husain dan Fadli Masoot.
Banduan diarahkan oleh Kroll Azry dan diterbitkan oleh Number Twenty One Media dengan kerjasama Dream Warrior Pictures, serta mendapat sokongan daripada Astro Shaw sebagai rakan pemasaran dan pengedaran.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini