Hiburan

8 Terus Gugur! Raise The Star Buka Tirai Dengan Kejutan, Kini 22 Peserta Teruskan Persaingan Tambat Hati Juri

Share

Baru sahaja membuka tirai, program realiti terbaharu Raise The Star Malaysia menyaksikan kejutan besar apabila lapan peserta tersingkir sekaligus pada minggu pertama yang berlangsung pada malam Ahad.

Konsert yang bersiaran secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam, Selangor, itu hanya menyaksikan 22 peserta berjaya mara ke minggu kedua.

Lapan peserta yang diumumkan tersingkir ialah Iqmal Romie, Azren Al Bakri, Bella, Aiman Hakim, Amir, Halida Ramlee, Wanns Ahmad dan Syahera.

Sementara itu, lima peserta terbaik minggu ini ialah Rayme, Pasya, Zury, Zuana dan Aril Eles yang berjaya menyerlah dengan persembahan mantap masing-masing.

Juri Cari X-Factor, Bukan Sekadar Vokal

Menurut juri tetap yang juga komposer terkenal, Ajai, peserta kali ini rata-rata memiliki asas nyanyian yang baik.

Namun cabaran sebenar adalah mencari kelainan dan daya tarikan luar biasa.

“Dari segi asas menyanyi, mereka memang tiada masalah. Masing-masing sudah datang dengan penjiwaan dan pitching yang bagus.

“Jadi, apa yang nak kami serlahkan adalah ‘x-factor’,” jelasnya yang turut menyifatkan ramai peserta datang dari program realiti lain dan masih terikat dengan gaya persembahan lama.

“Ada yang menyanyi dengan bagus namun mereka tiada daya tarikan.

“Itu yang membuat mereka tersekat di takuk lama. Sebagai bintang, mereka perlu seiring dari segi nyanyian dan daya tarikan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, juri Shila Amzah turut mengakui tugasan duet pada minggu pertama agak mencabar kerana memerlukan keserasian yang tinggi antara pasangan.

“Untuk minggu pertama ini, apa yang menyukarkan kami untuk memilih peserta terbaik adalah disebabkan tugasan duet.

“Ada yang dapat garap cabaran itu dengan baik dan ada yang tidak,” jelas Shila.

Shila menambah, minggu hadapan para peserta akan menyanyikan lagu pilihan sendiri, sekali gus tiada lagi alasan untuk tidak menyerlah.

Raise The Star Malaysia menyatukan lima komposer hebat iaitu Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah dan Ikhwan Fatana, dalam usaha mencari lima pelapis baharu untuk mempersembahkan lagu ciptaan mereka di pentas akhir.

Pada malam konsert pertama itu juga, penyanyi Tomok menggantikan tempat salah seorang juri, Aina Abdul.

Program ini dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad, dan boleh ditonton secara langsung setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria atau strim hanya melalui Astro One dan sooka.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
Aizam Manaf