Berita

4 Juta ‘Sunscreen’ Terjual, Wawa Zainal Perangi Produk Tiruan & Bongkar Kisah Sakit! – “Kalau Saya Ada Tersakiti Hati, Minta Maaf.”

Share

Pelakon dan usahawan, Wawa Zainal terus komited dan serius mengukuhkan jenama kosmetik miliknya, Wawa Cosmetics di bawah payung Wawa Global Sdn Bhd.

Terbaharu, jenama ini tampil dengan wajah kempen baharu menerusi penjenamaan semula dan pembungkusan baharu tiga produk pelindung matahari keluarannya.

Langkah ini antara lain, diambil bagi membanteras penyebaran produk tiruan yang semakin berleluasa di pasaran.

Penjenamaan semula ini turut menampilkan imej yang lebih elegan dan profesional, disokong oleh wajah-wajah popular seperti Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, serta pasangan sensasi, Umisya Mazlan dan Ahmad Aslam.

“Kami di Wawa Global sangat komited dalam usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan produk yang memenuhi kehendak pengguna masa kini.

“Kami percaya produk yang selamat, halal dan berkualiti tinggi adalah asas kejayaan yang mampan,” kata Wawa.

Sejak dipasarkan, Sunscreen Wawa telah mencatat lebih 4 juta unit jualan, satu angka yang membuktikan tahap kepercayaan pengguna terhadap kualiti produk tersebut.

Wawa Akui Kesihatan Merosot, Penyakit Ain?

Dalam majlis pelancaran produk baharunya itu di sebuah pusat pickleball di TREC, Kuala Lumpur baru-baru ini, Wawa Zainal turut berkongsi tentang cabaran kesihatan yang dialaminya sejak setahun lalu.

Wawa, 34, mengakui sistem imun badannya semakin merosot seiring usia dan tidak menolak kemungkinan dirinya turut terkesan dengan penyakit ain iaitu gangguan daripada pandangan mata yang disertai iri hati atau dengki.

“Ini pun sebenarnya saya baru baik daripada demam, batuk. Kalau nak dikatakan ini antara kesan penyakit ain, saya pun tak berani nak cakap. Sebab risau juga…

“Saya memang melakukan pemeriksaan secara berkala, tapi setakat ini syukur, tiada apa-apa yang serius. Apa pun saya mula kerap rasa tak sihat sejak setahun inilah.

“Mungkin juga sebab usia pun tak meningkat, jadi tidak samalah ketika kita muda-muda dulu. Sebelum ini, boleh dikatakan setahun sekali baru dapat demam,” katanya.

Wawa bagaimanapun hanya mendoakan yang terbaik buat dirinya seisi keluarga.

“Cuma bila ibu sakit, anak-anak pun mudah terkena jangkitan sebab imun mereka masih lagi rendah. Apa pun mereka semua sudah kembali baik, alhamdulillah. 

“Sekarang, saya hanya perbanyakkan solat sunat, zikir, membaca al-Quran dan sebagainya. Harapnya sihat seperti sedia kala sebab bila kita tak sihat ni, terganggu kita punya rutin,” katanya lagi. 

Hadir bersama suami yang juga pelakon, Aeril Zafrel, Wawa memaklumkan dia kini masih dalam proses pemulihan daripada batuk dan sakit tekak, selepas sebelum ini pernah ditahan di hospital akibat

gastrik kronik.

“Kalau rasa tidak sihat, Aeril akan terus bawa saya ke hospital. Saya ada juga minta nasihat daripada Ustaz. Masih ada (elemen gangguan) tak tahu bila ‘benda’ tu berakhir.

“Mungkin saya ada sakitkan hati orang ke, saya pun tak pasti. Di kesempatan ini juga saya nak minta maaf kalau ada saya ada tersakiti hati sesiapa di luar sana. Kalau ada yang berdendam, saya minta maaf,” katanya.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH