Berita

10 Tahun Diganggu, Zara Zya Luah Tekanan Emosi… ”Setengah Orang Tak Faham, Kata Saya Cari Perhatian.”

Share

Perkongsian pelakon, Zara Zya mengenai pengalamannya diganggu oleh makhluk halus nyata mengejutkan ramai pihak.

Menurut Zara, pendedahan tersebut dibuat kerana dirinya sudah tidak tahan diganggu sejak 10 tahun lalu.

“Ketika ini, saya agak meluat pula rasanya. Dia sentiasa ada dekat dengan saya. Perkara ini agak sensitif untuk dikongsikan. Ada sesetengah orang tak faham.

“Kata mereka, saya sengaja buat-buat cerita dan nak cari perhatian. Namun, jika orang yang mengalami hal seperti saya, dia akan tahu.

“Saya nak cakap pun rasa mengah. Makhluk itu tahu yang saya tahu dia. Kalau nak bercakap lebih, saya pun agak takut. Walaupun kita tak sepatutnya rasa takut. Nak bercerita ini pun naik bulu roma saya,” katanya kepada MH.

Zara berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran kempen Ramadan Astro yang berlangsung di Astro Bukit Jalil pada Selasa.

Gangguan Sejak 10 Tahun Lalu

Jelas pelakon drama Sumpah Ibuku itu lagi, makhluk tersebut sering kali dapat dilihat di sekitar kawasan rumahnya sehingga membuatkan dirinya berasa tidak selesa.

“Saya mula diganggu sejak 10 tahun yang lalu. Yang buatkan kita takut dan seram itu sebab muka dia buruk. Itu sahaja. Dia pun makhluk Allah. Kita tak sepatutnya rasa takut sebab kita lagi mulia daripada dia.

“Untuk orang seperti saya, dahulu lebih teruk. Saya dapat nampak dengan lebih jelas. Sampai kedai makan kegemaran pun tak boleh nak pergi.

“Alhamdulillah ketika ini keadaan saya beransur baik. Sekejap nampak, sekejap tak nampak. Dia memang ada di rumah saya dan selalu teman saya masak.

“Saya sampai terpaksa cakap ‘Woi, tepilah…sudahlah’,” ujarnya lagi.

Sudah Berikhtiar Berubat

Dalam masa sama, Zara turut memaklumkan dirinya sudah ada mendapatkan rawatan berubat berkaitan dan keadaannya kini dirasakan semakin baik berbanding sebelum ini.

“Saya ada ikhtiar untuk berubat. Ramai juga nasihat saya suruh berjumpa dengan pakar. Kita kalau sakit luka pun tahu bila nak pergi klinik.

“Cuma mungkin Allah belum izinkan saya untuk sembuh sepenuhnya. Ketika ini saya sihat sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai tahap kesihatan mental dan fizikalnya ketika ini, Zara mengakui gangguan makhluk halus itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada emosinya.

“Ia memang sangat menggangu kehidupan seharian dari segi mental dan fizikal. Ia juga mengganggu pemikiran saya. Saya jadi agak susah nak menghafal. Dia buatkan fikiran saya jadi kusut.

“Walaupun saya sudah lakui situasi ini agak lama, saya tak nak kata yang saya faham dengan benda ini. Saya sebenarnya tak nak dan tak suka perkara ini berlaku. Ia sangat menyusahkan.

“Tiada apa yang nak dibanggakan langsung. Saya harap benda ini akan berkurang. Ia turut mengganggu emosi. Saya tak boleh terlebih gembira, sedih atau keseorangan.

“Bila cakap sorang-sorang, ada yang suruh saya jumpa pakat psikiatri dan makan ubat. Saya sudah buat semua itu,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf