SEJAK bergelar pemenang tempat ketiga program Gegar Vaganza musim ketiga (GV3), nama Zarul Umbrella atau kini lebih dikenali dengan nama Zarul Husin semakin dikenali ramai.

Bukan sahaja mempunyai golongan peminat setia yang menyokongnya sejak bersama kumpulan Umbrella, lelaki berusia 44 tahun ini juga mempunyai peminat yang mungkin sebaya dengan usia anaknya.

Dalam kerancakan memenuhi undangan nyanyian dan program TV, Zarul atau nama penuhnya Zairulkefli Husin, berkongsi, dia tidak pernah menyesal melepaskan tugas sebagai pramugara selepas 17 tahun berkhidmat di awan biru.

Ujar Zarul, biarpun jadual kerjanya kini lebih padat berbanding sebelum ini, namun dia berasa lebih gembira.

"Bukan saya tak seronok dengan kerja lama tapi bidang seni adalah jiwa saya.

"Memang inilah yang hendak saya lakukan sejak sekian lama lagi dan walaupun sibuk, saya tak rasa ia sebagai satu bebanan.

"Malah saya tak anggap apa yang saya lakukan ini sebagai satu kerja, tetapi sesuatu yang saya suka lakukan," kongsinya kepada Media Hiburan.

Tambah Zarul, walaupun dia kini dilihat ligat memenuhi pelbagai undangan, namun secara peribadi dia merasakan belum selesa dengan apa yang dilaluinya kini.

"Saya kira kerjaya saya kini baru sahaja bermula dan saya perlu berusaha keras untuk mengekalkan momentum dari GV3 agar perjalanan karier saya berjalan dengan baik.

"Bahkan saya tak lihat karier saya kini sebagai satu kejayaan kerana masih banyak yang perlu saya lakukan untuk menganggap ia sebagai satu kejayaan.

"Pendek kata saya masih lagi belum berasa selesa dan masih lagi mengatur langkah, walaupun saya kini ada golongan peminat baru dan lama," ujarnya.

Tidak hanya sibuk dengan undangan nyanyian, anak jati Pasir Puteh, Kelantan ini juga turut mencuba nasib sebagai pelakon.

Dan sebagai permulaan, Zarul akan muncul menerusi drama Cik Serba Tahu di samping pelakon utama, Remy Ishak dan Sari Yanti menerusi saluran Astro Ria tidak lama lagi.

"Saya hanya memegang watak kecil saja di dalam drama terbabit dan saya rasa sangat seronok kerana banyak mendapat tunjuk ajar, dari Remy, Sari, Ako.

"Malah pengarah dan penolong pengarah juga banyak mengajar dan membimbing saya sepanjang di lokasi.

"Sehinggakan pada mulanya saya nak tunggu feedback penonton dulu sebelum meneruskan karier sebagai pelakon.

"Tapi kini saya lebih yakin dan mula menelaah filem dan drama untuk lihat cara mereka deliver lakonan," katanya.

Bahkan ujar Zarul, dia juga bersedia untuk terus bergerak aktif di dalam bidang lakonan sekiranya diberi peluang dan tidak kisah menjayakan apa sahaja watak yang diberikan.

"Mungkin untuk permulaan ini, saya tak kisah kalau watak sampingan pun kerana saya masih belajar.

"Tapi kalau produksi mahu watak yang lebih berat, saya bersedia menerima, cuma saya harap mereka boleh membimbing saya," jelasnya.

Selain berlakon, Zarul berkata, dia kini masih lagi mempromosikan single ciptaan Aepul Drama Band berjudul Jangan Pernah.

Selain itu, dia juga akan merakamkan sebuah lagi single baru ciptaan Ippo Hafiz yang dijangka akan dilancarkan pada tahun ini juga.

"Sebenarnya saya sudah rakam lagu terbaru ini tetapi saya rasa tak puas hati. Jadi saya rancang untuk rakam lagi sekali.

"Cuma bila akan dilancarkan itu saya belum pasti lagi," katanya.

Lupakan Umbrella?

Ditanya mengenai perjalanan kariernya bersama Umbrella, Zarul berkata, keadaan industri dan permintaan penganjur untuk dia tampil solo membuatkan dia belum dapat melakukan sebarang projek bersama kumpulannya itu.

Jelas Zarul, sekiranya ada permintaan, barulah dia dan Umbrella akan tampil bersama.

"Tidak dinafikan saya dah lama ingin tampil bersama Umbrella. Tapi buat masa ini belum ada tawaran untuk kami tampil bersama.

"Bahkan kebanyakan permintaan penganjur mahu saya tampil solo dan saya juga ada komitmen solo yang perlu dibuat.

"Bukanlah saya jadi lupa diri bila dikenali tapi kesian pada rakan-rakan saya sekiranya bajet yang ada untuk seorang dan perlu dibahagi untuk satu kumpulan," jelasnya.

Pernah terpalit dengan kontroversi melupakan peminat, Zarul berkata, dia mengakui kekhilafannya dalam melayan peminat ketika program GV3 berakhir.

Katanya, dia sudah memohon maaf kepada peminatnya dan keadaan kini sudah kembali seperti biasa.

"Sebagai manusia kita tidak lepas dari buat kesilapan dan saya juga sudah mohon maaf. Mereka juga sudah memaafkan saya dan saya jadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran untuk saya," akhirinya.