Status sebagai selebriti bukan alasan buat pasangan Yana Samsudin dan Fadzil Zahari berbelanja mewah bagi meraikan Aidilfitri.

Bahkan biarpun kini perkahwinan mereka dilengkapi dengan kehadiran cahaya mata, Aisy Mateen, 11 bulan, Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin berkata, persiapan dan sambutan mereka sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Adalah membeli sikit pakaian untuk Mateen, tapi tidaklah secara berlebihan kerana dia sedang membesar.

“Manakala baju saya dan suami pula kami pakai sahaja koleksi sendiri iaitu Ayana Raya,” katanya kepada Media Hiburan.

Yana berkata, untuk Lebaran kali ini, mereka sekeluarga sudah berada di Jitra, Kedah dan menyambut hari raya bersama keluarga suaminya.

“Insya Allah saya sama ada hari ini atau lusa saya akan pulang untuk berhari raya bersama keluarga di Yong Peng, Johor.

“Ini tahun pertama kiranya buat Mateen beraya bersama sepupu di Jitra, memang meriah suasana dengan anak-anak buah Fadzil yang lain juga pulang berhari raya di sini,” ujarnya.

Ditanya juadah wajib yang akan dimasak setiap kali hari raya,Yana berkata, sejak berkahwin, dia pasti akan menyediakan nasi daging kegemaran suaminya.

IKLAN

“Fadzil suka nasi daging versi saya walaupun sebenarnya saya tak ikut versi nasi daging sebenar dan ubah suai ikut cara saya. Tapi biasanya bila berada di sini, dia akan minta saya masakkan.

“Selain itu, saya juga menggemari lontong dan sate goreng masakan ibu saya. Saya memang tak pandai buat, jadi kena tunggu balik ke Yong Peng untuk makan,” selorohnya.

Selebriti berusia 33 tahun ini menambah, dia juga merancang untuk membuat rumah terbuka di Yong Peng pada tahun ini selepas tidak dapat berbuat demikian pada tahun lalu.

“Pada tahun lepas, saya sedang sarat mengandung dan bersalin Mateen pada minggu kedua hari raya, jadi saya tak buat rumah terbuka.

“Jadi dengan kehadiran Mateen pada tahun ini, saya ingat nak buat sedikit majlis. Bagaimanapun saya mungkin terpaksa tunda pada penghujung Syawal memandangkan cuti saya pada tahun ini agak terhad,” jelasnya.

IKLAN

Bagaimanapun ujar Yana, dia akan memasuki set penggambaran drama bersiri Cinta Maya di samping aktor, Afiq Muiz untuk siaran RTM, tidak lama lagi.

“Selain itu, saya akan terlibat dengan beberapa kempen rayaseperti Lux Persona bersama Che Puan Juliana Evans, Tropicana Twister dan sebuah lagi produk.

“Sebab itu saya cuti saya agak terhad sedikit untuk Lebaran kali ini, tapi apa pun saya akan cuba curi masa untuk mengadakan rumah terbuka sebelum Syawal berakhir,” katanya.

 

SH : Kenangan cuci tandas

IKLAN

Sementara itu, ditanya kenangan hari raya yang tidak dapat dilupakan, kedua-duanya memberi jawapan yang sama.

“Dua tahun lepas, ketika kami dalam perjalanan pulang dari Kedah ke Kuala Lumpur, kami singgah di Hentian Sungai Perak untuk buang air.

“Tak sangka pula tandas salah sebuah stesen minyak bermasalah dan kerana kasihankan beberapa warga emas yang hendak menggunakannya, jadi kami ambil keputusan untuk bersihkan ‘sisa’ yangditinggalkan orang sebelum itu.

“Bagaimanapun kami tak sangka tindakan kami membantu, mendapat perhatian dan perkara itu viral di media sosial,” ujar Fadzil.

Namun tambah Yana, tindakan mereka itu bukan hanya dipuji, tetapi juga ada sesetengah netizen mengecam Yana kerana dikatakan seolah-olah menunjuk apa yang dilakukan.

“Niat saya untuk menegur orang dalam gurauan supaya gunakanlah tandas sebaiknya, lebih-lebih pada musim perayaan ini, ramai lagi orang hendak menggunakannya.

“Tapi ada yang salah ertikan. Bagaimanapun pada saya tak mengapalah, yang penting saya tahu niat sebenar kami,” katanya.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI