MEMULAKAN  langkah dalam bidang lakonan menerusi pentas teater pada era tahun 1980an, pelakon Roslan Salleh, 60, mengakui tidak pernah menyesal meninggalkan profesional perguruan demi minatnya kepada seni.

Lebih 30 tahun bergelar anak seni, Roslan menimba pelbagai pengalaman menerusi puluhan filem dan drama lakonannya yang pernah dipertontonkan kepada umum.

Menurutnya ilmu lakonan yang dipelajari ketika aktif bergiat dalam teater ternyata banyak membantunya menjayakan pelbagai watak yang diberikan kepadanya.

“Selepas berhenti jadi guru, saya membuat keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar tahun 1985 untuk mencari peluang yang lebih besar dalam bidang seni.

 

“Di sini saya menyertai kumpulan teater Al-Hidayah pimpinan Kamarul AR dan dan mula mengenali beberapa rakan seangkatan seperti Datuk Jalaludin Hassan dan Ahmad Ibrahim yang kemudiannya banyak membantu saya mencari peluang dalam lakonan,” ujarnya.

Biarpun mempunyai bakat dan minat yang mendalam bidang lakonan, Roslan mengakui tidak mudah untuknya menempatkan diri kerana kebanyakan pelakon lain yang telah sedia ketika itu sangat bagus.

IKLAN

“Kebanyakan pelakon pada masa itu adalah mereka yang berasal daripada dunia teater, jadi mereka ini adalah pelakon yang benar-benar boleh berlakon dan bukan jadi pelakon sebab pakej fizikal sebagaimana yang berlaku dalam industri hari ini.

 

“Jadi kalau nak bersaing, kita kena berlawan dengan bakat yang masing-masing ada di mana setiap dari kita sentiasa mahu tampil dengan persembahan terbaik apabila mendapat peluang,” katanya lagi.

Watak Jahat, Sebati Dengan Nama Roslan Salleh

Menurut Roslan, di awal pembabitannya di kaca TV, dia cukup sinonim dengan watak antagonis di mana hampir puluhan drama dan filem yang menampilkan dirinya dalam karakter yang sebegitu.

IKLAN

“Saya tidak pernah menetapkan untuk hanya bawa watak baik atau jahat sahaja kerana sebagai pelakon kita harus mencuba pelbagai watak dan menerima cabaran yang diberikan oleh orang lain.

 

“Namun ketika itu mungkin saya dilihat lebih sesuai dengan watak sebegitu dan penonton juga menerima baik lakonan saya itu sehingga pihak penerbit atau pengarah mahu saya terus membawakan watak antagonis.

 

“Walaupun watak sebegitu menyebabkan saya dibenci orang, namun saya kira ia satu kejayaan juga apabila mampu memberikan lakonan yang berkesan sehinggakan penonton benar-benar merasakan saya ini orang jahat,” katanya yang pernah membawa watak komunis dalam drama Antara Maruah dan Pengorbanan.

Bagaimanapun seiring dengan perubahan usia, semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, Roslan kini lebih banyak diberikan watak pratagonis yang menyaksikan dirinya tampil berbeza berbanding yang pernah diperlihatkan dalam lakonannya sebelum ini.

“Kalau waktu muda dulu saya sering diberikan watak jahat, sekarang ini barulah saya mendapat watak yang lebih pelbagai.

 

“Namun saya perasan juga banyak mendapat tawaran menjayakan drama atau filem seram yang menyaksikan saya tampil dengan watak lelaki misteri seperti filem Damping Malam, Senjakala mahupun Munafik 2,” jelasnya.

Berkongsi pengalamannya bersama peminat, kata Roslan, disebabkan dirinya terlalu sinonim dengan watak jahat agresif, peminat takut untuk mendekatinya apabila bertemunya di luar.

IKLAN

“Menerusi pandangan mereka, saya tahu kehadiaran saya tidak disenangi mereka yang mungkin sudah terpengaruh dengan lakonan jahat lakonan saya di TV mahupun filem.

 

“Memang tiada siapa yang mahu dekati saya kerana membenci watak yang saya lakonkan, namun alhamdulillah kebencian itu tidaklah sampai kepada perbuatan yang di luar jangkaan.

 

“Bagaimanapun situasi berbeza pada hari ini di mana setiap kali berada di luar, antara antara mereka yang datang menyapa dan meminta izin untuk bergambar,” luahnya jujur.

Watak Jahat, Sebati Dengan Nama Roslan Salleh

Roslan yang merupakan bapa kepada empat anak dan enam cucu ini turut menyatakan untuk terus aktif dalam bidang seni jika khidmatnya masih diperlukan, Terbaru, pelakon yang cukup merendah diri ini bakal tampil dengan teater Tun Fatimah bergandingan dengan Maya Karin dan Remy Ishak, di Panggung Bangsawan Melaka pada 20-21 Oktober ini.

“Semenjak aktif berlakon drama TV dan filem, saya jarang berkesempatan buat teater. Jadi Tun Fatimah menjadi ruang terbaik untuk mengubat kerinduan saya pada lakonan pentas.

 

“Dalam teater ini, saya memegang watak sebagai Bendahara yang juga merupakan orang penting di sebalik kejayaan kegemilangan empayar Melaka ketika pemerintahan Sultan Mahmud Syah.

 

“Kalau ada peluang, saya mahu kembali aktif buat teater,” ujarnya.

[KREDIT FOTO: Istana Budaya]

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI