PENGLIPUR lara yang mempersembahkan siri cerita tentang pemulihan Gunung Kinabalu dalam The Kinabalu Call kini kembali dengan siri baru bertajuk #WarisanSandakan.

Menampilkan kisah Jejak Warisan Sandakan, Ragbi sebagai sukan utama di Sabah dan kisah di sebalik pemuliharaan bertaraf dunia yang berlaku setiap hari di Sandakan, siri #WarisanSandakan 'mengempakkan' komuniti atas talian (online) sejak siaran episod pertamanya.

Dalam masa 72 jam, video tersebut dikongsi lebih 600 kali dalam Facebook.

Penerbit Eksekutif dan juga salah seorang penglipur lara dalam siri kali ini, Juwita Suwito, terkejut dengan sambutan itu.

 "Kisah pada halaman Facebook Songs & Stories adalah inisiatif kami memperkenalkan keindahan itu,” katanya.

Penglipur lara lain termasuk penulis novel Gina Yap Lai Yoong, pendukung muzik dan pemuliharaan Jennifer Thompson, dan penyanyi-hos Zamil Idris.

Mereka melawat Sandakan akhir November tahun lalu untuk bersama komuniti setempat dan merungkai kisah menarik yang tidak pernah diungkap.

 “Saya seronok menerokai Jejak Warisan Sandakan. Ia adalah sesuatu yang semua anak Malaysia harus lakukan dan tahu sejarahnya," kata Thompson.

Mereka juga meluangkan masa bersama beruang madu di Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo, orang utan dan pelbagai spesies burung di hutan khatulistiwa Sepilok, penyu di Taman Pulau-Pulau Penyu dan pengalaman itu dimuatkan di halaman Facebook Songs & Stories sepanjang Januari tahun ini.

Episod baru disiarkan setiap Isnin dan Jumaat.

Dalam pada itu, Gina berkata, Songs & Stories mementingkan pengumpulan cerita secara 'spontan-santai' yang bermaksud tiada skrip sebagai panduan.

Gina juga bersyukur kerana ada krew yang mantap dan memahami prinsip untuk merakam secara 'spontan-santai' tidak mengira keadaan cuaca dan tempoh waktu selain memastikan kamera sentiasa rolling supaya setiap detik dirakam secara langsung.

Katanya, setiap cerita yang baik perlu ada permulaan, kemuncak dan penghujung. Begitu juga dengan #WarisanSandakan. Penulisan skrip yang biasanya sebelum produksi, kini dilakukan selepas rakaman lantas membatasi dan menyukarkan penyampaian cerita.

"Setiap episod dipastikan tidak melangkaui lima minit, sesuai untuk penonton online, diiringi muzik dan sari kata dalam bahasa Inggeris dan Melayu untuk mencapai lebih ramai penonton," katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut, layari www.facebook.com/songsandstories.com.my