Pelakon dan penyanyi popular era 1970an, Uji Rashid memohon orang ramai agar tidak membuat spekulasi negatif berkaitan keadaan anak lelakinya, Cico Harahap, 39, yang sebelum ini dilaporkan sedang sakit akibat perbuatan aniayai pihak yang tidak bertangungjawab. Kenyataan itu dikeluarkan Uji berhubung sebuah artikel yang melaporkan Cico terlantar sakit akibat ditikam di lehernya, sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kesal dengan laporan yang tidak tepat berhubung keadaan sebenar yang menimpa anaknya itu, Uji berharap agar pihak yang terbabit lebih bertanggungjawab dalam melaporkan sesuatu berita.

“Saya merayu kepada mereka yang terbabit agar tidak melaporkan sesuatu yang kurang pasti dengan menggunakan perkataan-perkataan yang boleh mengelirukan orang ramai tentangnya.   “Laporan yang mengatakan Cico terlantar sakit kerana ditikam di leher adalah tidak benar sama sekali, dan akibat dari itu ia telah membuka ruang kepada salah faham terhadap perkara sebenar yang dilaluinya.   “Saya lihat dia agak kecewa dan marah setelah membaca laporan tersebut dan sebagai ibu saya turut terkesan dengan situasi itu yang sedikit sebanyak pastinya turut mengganggu keadaan dirinya yang belum sembuh sepenuhnya ketika ini,” kata Uji yang ditemui ketika majlis pelancaran Q Space Sudio di Kajang baru-baru ini.

Disember lalu, Cico telah dimasukkan ke hospital setelah didapati tidak sedarkan diri akibat dianiayai pihak tidak bertanggungjawab yang telah memasukkan sesuatu di dalam minumannya ketika keluar bertemu rakan-rakannya. Kesan daripada itu, Cico mengalami masalah ingatan dan pertuturan yang agak serius sehingga tidak dapat bercakap sebagaimana dirinya sebelum ini. Kini setelah lebih enam bulan mendapatkan rawatan secara moden dan tradisional, pelakon filem Puteri Impian ini mula beransur pulih biarpun belum sepenuhnya.

IKLAN

“Sebulan pertama selepas kejadian itu, dia langsung tidak dapat mengingati siapa dirinya, anaknya dan juga saya sendiri sebagai ibunya. Badannya terlalu lemah dan ketika itu dia langsung tidak dapat bercakap kerana suaranya telah hilang.   “Masuk bulan kedua barulah dia kenal anaknya kembali dan bulan seterusnya dia mula ingat siapa dirinya walaupun masih tidak dapat menyebut namanya.   “Alhamdulillah menerusi rawatan berterusan, baik menerusi kaedah moden mahupun perubatan Islam, dia mula pulih perlahan-perlahan dan menunjukkan perkembangan yang cukup positif,” terang Uji yang turut juga mendapatkan bantuan daripada Ashraf Muslim untuk rawatan.  

‘Cico Ditikam Di Leher Tidak Benar’ – Uji Rashid Cico yang ada bersama ketika temu bual dilakukan bersama Uji, kelihatan tenang namun sukar untuk bertutur apabila disapa, malah menolak apabila diajak untuk bergambar sehingga terpaksa dipujuk ibunya.

IKLAN
IKLAN

“Macam itulah keadaan dia sekarang. Dia sukar untuk bertutur dengan baik malah mengambil masa yang agak lama untuk proses apa yang orang cakap dan dia dengar sebelum memberikan respons.   “Ada masa dia OK untuk jumpa orang, tetapi pada suatu ketika yang lain pernah juga dia tidak mahu langsung bertemu dengan sesiapapun.   “Apapun saya bersyukur kerana doktor memberitahu keadaannya semakin baik, malah fizikalnya juga semakin pulih, cuma pertuturannya sahaja yang belum elok sepenuhnya,” katanya Uji yang tidak putus mengucapkan terima kasih kepada pihak yang banyak membantunya.

Menolak untuk mengulas lanjut tentang punca kejadian tersebut berlaku, Uji menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan.

“Saya tidak mahu menuduh sesiapa atau bercakap tentang sesuatu yang saya sendiri kurang pasti. Jadi biarlah pihak berkuasa sahaja membuat siasatan dan mencari jawapannya.   “Apa yang lebih penting buat saya hanyalah untuk melihat anak saya kembali pulih dan sihat walafiat sebagaimana sebelum ini.   “Sebagai ibu saya hanya memohon kepada Tuhan supaya saya diberikan kesihatan, kekuatan dan kesabaran agar dapat menjaganya dengan baik serta melalui dugaan ini dengan tenang,” akhiri Uji yang sentiasa bersikap positif.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI