Bakat aktor Syazwan Zulkifly membawakan watak ganas tidak dinafikan memang berjaya. Syazwan yang memegang watak antagonis menerusi drama 7 Hari Mencintaiku sebagai Helmi, pelakon itu mengakui bahawa setiap watak ganas yang perlu dipersembahkan ada cabarannya.

"Cabaran membawakan karakter ini agak berbeza dengan sebelumnya ini kerana menerusi drama itu saya berlakon dengan pelakon senior iaitu Liza Abdullah (Mak Leha). Yang sangat saya hormati dan dia jadi ibu saya di dalam drama tersebut.   Tapi saya perlu panggil dia 'engkau'. Sejujurnya memanglah saya rasa tidak selesa dan janggal sebab panggil orang yang lebih tua daripada kita dengan panggilan ‘engkau.  Tak baik la kan.  

"Sehinggakan pada setiap babak yang memerlukan saya untuk mengeluarkan perkataan itu terpaksa dilakukan beberapa kali.  Nak buat macam mana saya memang tak biasa, tapi kena juga buat sebab skripnya dah begitu.  Tapi bila di luar set, kami okay,” ujar Syazwan lagi.  

Dalam perkembangan lain, Syazwan juga ada menyatakan waktu lapangnya banyak dihabiskan di rumah sahaja. Ini kerana ramai sahabat dan rakan artisnya sudah menamatkan zaman bujang, jadi sudah kurang keluar rumah, selain urusan kerja sahaja.

"Saya dah jarang keluar rumah dan memang masa terluang kalau tak ada penggambaran saya duduk rumah saja. Duduk di rumah pun hanya main game dan tonton movie.

"Almaklumlah kawan seangkatan ramai dah mendirikan rumah tangga. Kalau saya belum lagi nampak cahaya tu," katanya ketika ditemui pada sesi ramah mesra antara peminat dan media yang diadakan bertempat di The Royale Bintang, The Curve.