Jika sebelum ini pelakon Julia Ziegler berahsia mengenai tarikh perkahwinannya namun dalam pertemuan semalam, Julia memberitahu dia memilih tarikh 1 Januari 2017 untuk menamatkan zaman anak daranya.

"Saya pilih tarikh 1 Januari itu sebab hari Ahad, permulaan tahun baru dan permulaan hidup saya yang baru sebagai isteri.

"Majlis saya nanti akan diadakan secara sederhana iaitu di rumah saya sahaja di Kampung Baru. Siang nikah malam resepsi. Konsep garden wedding. Majlis saya sehari itu sahaja termasuk dengan majlis pihak lelaki.

"Yang penting bagi saya adalah kehadiran keluarga, saudara mara, rakan-rakan dan masa yang berkualiti bersama mereka. Saya mahukan kenangan bersama mereka di hari persandingan saya," ujar Julia yang ditemui di majlis sidang media drama Selamat Malam Tan Sri.

Ditanya mengenai pendapat bakal suaminya pula, Julia memberitahu, Johan orang yang sempoi seperti dirinya juga.

"Dia okay sahaja dengan apa yang saya rancangkan. Macam mana saya yang orang lihat sempoi begitulah juga dia   Itu yang membuatkan kami serasi," jelasnya.

Tambah Julia, setakat ini persiapan untuk majlis kahwinnya  berjalan dengan lancar.