Umum ramai yang sudah tahu bahawa pengasas kecantikan dan kesihatan, Datuk Seri Dr Hajah Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 46, sudah bercerai talak satu dengan suaminya, Fauzi Ahmad Zainuddin, pada awal April lalu.

Walaupun perit untuk menerima kenyataan namun Datuk Vida kini semakin kuat. Ini kerana baginya apa yang sudah terjadi usah ditangisi lagi dan terus maju untuk kebahagiaan dan kesenangan anak-anak dan bisnes.

“Selepas ribut taufan yang melanda, barulah hari ini saya keluar dari rumah setelah beberapa minggu berkurung di dalam rumah.

“Jadi perasaan saya sekarang ini adalah kena sentiasa tampil ceria dan positif. Apa yang sudah berlaku biarlah ia berlalu jangan dikenangkan lagi.

“Bagi saya sehari ke dua hari itu bolehlah menangis, tetapi bila sudah masuk hari yang ketiga, tidak, saya harus bangkit semula dan terus kuat,” ujarnya.

Datuk Vida ditemui ketika menghadiri majlis ulang tahun pertama tonton VIP di The Roof, Damansara.

Pada masa yang sama juga Datuk Vida tidak menafikan bahawa selepas bercerai ramai lelaki di luar sana mencuba nasib untuk menggantikan tempat bekas suaminya itu. Namun wanita bercita-cita tinggi ini enggan membuka pintu hatinya.

“Asam garam selepas saya bercerai itu lebih teruk sebab ramai lelaki di luar sana yang menggatal dengan saya. Bosanlah!

“Mereka kacau dengan apa cara sekalipun untuk mengambil kesempatan ke atas saya, tak kiralah dari sosial media pun. Tapi saya sedikit pun tak layan dan jawab mesej-mesej mereka, saya tahu mesti nak duit saya,” katanya berseloroh.

Walaupun sebelum ini Datuk Vida ada menyatakan sudah serik untuk berkahwin lagi, tetapi beliau tidak menolak kemungkinan jika takdir mempertemukan jodoh seterusnya pada masa akan datang.

“In future saya sudah pastinya utamakan anak-anak walaupun sekarang juga anak-anak, dan kedua ketiganya serta seterusnya biarlah bisnes. Saya tak mahu fikirlah lagi. Andai adalah KING saya, biar dia juga ahli bisnes macam saya,” katanya tersenyum.