Rupa-rupanya usahawan terkenal Datuk Aliff Syukri Kamarzaman sudah lama menantikan saat untuk bergelar pelakon. Bakat terpendam kata orang.

Dek kerana kerap memuat naik video-video di media sosial dan berjaya mencuri ramai perhatian penonton, akhirnya bakat semula jadinya itu dilihat oleh Profesor Datuk A.Razak Mohaideen.

Justeru itu, bakat Aliff Syukri bakal diasah menerusi filem Badang yang akan memulakan penggambarannya dalam tempoh terdekat ini.

“Diikutkan saya ini berniaga bolehlah, namun mungkin kerana saya selalu melawak di media sosial membuatkan orang suka, jadi Prof A.Razak pun menawarkan saya untuk berlakon dalam filemnya itu.

“Jadi peluang yang datang ni akan saya buktikan kepada orang ramai bahawa saya boleh berlakon dan bukan semata-mata nak glamor tetapi minat. Bahkan saya juga tidak menaja filem ini.

“Di dalam filem itu nanti saya akan berlakon sebagai watak utama dan cuba buat yang terbaik. Kalau orang nak kritik saya tak kisah dan pasrah," katanya.

Menariknya, sebelum memberikan kata putus kepada Prof. Aliff Syukri sebenarnya telah pun memujuk isterinya agar dia dibenarkan untuk menjadi seorang artis.

“Banyak yang saya korbankan dan ini juga satu impian saya untuk berlakon dalam filem. Saya nak merasa dan mintalah kebenaran daripada isteri. Saya pujuk dia selama tiga bulan baru lulus. Jadi adalah syarat-syarat kami bersama,” ujarnya.