PERNAH dikenali menerusi lagu tangkap leleh, Tomok bagaimanapun enggan berkarya dalam genre itu lagi. Bukan bermaksud lupa diri, penyanyi berusia 33 tahun ini sebaliknya mahu memberi peluang kepada generasi baru.

“Sebenarnya, terlalu ramai yang request agar saya keluarkan single irama 90-an. Tapi, buat masa ini, nantilah dulu. Sebabnya, saya dah pernah rasa buat lagu-lagu macam itu. Jadi, biarlah artis lain buat dulu. Bila tiba masanya, saya akan buat juga nanti,” katanya kepada Media Hiburan.

Buat masa ini, pemilik nama sebenar Shah Indrawan Ismail ini mahu terus kekal seimbang dalam industri muzik dan cuba sesuatu yang lain dengan pelbagai genre.

Tomok Enggan Ikut Trend

Tomok pernah popular bersama kumpulan New Boyz dengan lagu-lagu jiwang seperti Sejarah Mungkin Berulang, Meraung, Hanya Tinggal Sejarah dan Lukamu Lukaku Jua.

Bagaimanapun, katanya, dia wajib menyanyikan lagu-lagu itu dalam persembahan apabila diminta peminat.

IKLAN

“Lagipun, karya itu adalah lagu cari makan jadi saya tak boleh lupa diri. Sebabnya, saya bermula dengan lagu-lagu genre tersebut,” katanya.

Pada masa sama, artis kelahiran Kuala Lumpur ini akan melancarkan single terbaru, Love ciptaan Zulkifli Majid November depan.

Rockstar Junior

Dalam pada itu, Tomok bersedia menerima kritikan selepas membuat keputusan memaparkan kehidupan sebenar keluarganya dalam program realiti, Rockstar Junior: Arrian & Andra.

IKLAN

“Sebagai anak seni, saya memang bersedia terima sebarang kritikan, cuma ia mungkin satu perkara baru buat isteri saya.

“Tapi, saya dah pun briefing yang masyarakat akan berkata apa saja. Apa yang penting, kami sebagai satu keluarga tahu apa yang kami lakukan,” katanya.

Tomok Enggan Ikut Trend

Mengulas lanjut, katanya, program lapan episod itu sekadar berkongsi pengalaman dan tips dalam penjagaan anak.

Tambahan pula, Tomok dan isterinya, Rahayu Abas menekankan ilmu penjagaan dua anaknya, Arrian Shah Akid, 5, dan Andra Shah Iman, 2, tanpa pembantu rumah.

IKLAN

“Kami memang urus anak sendiri, sejak dulu lagi. Bukan tak percaya orang lain, tapi menetap di kondominium dengan ruang  terhad, kami lebih selesa hanya keluarga berada di dalamnya.

Menurut Tomok, mereka akan berkongsi pengalaman sendiri dan mungkin bermanfaat kepada ibu bapa lain.

Pun begitu, pelantun lagi Rindu Terhenti ini tetap dengan pendirian tidak mahu terlalu mendedahkan anak-anaknya dengan dunia hiburan.

“Sebelum ini, saya memang dedahkan aktiviti anak-anak melalui Instagram, tapi untuk sesi fotografi bersama media saya rasa belum masanya lagi.

“Saya tak mahu zaman kanak-kanak mereka berlalu begitu saja,” katanya yang mengambil tempoh lama untuk bersetuju.

Lebih menarik, lagu tema program itu juga dihasilkan sendiri oleh Tomok dan anaknya, Arrian.

Program itu bersiaran menerusi slot eBu, dengan kerjasama majalah Pa & Ma, setiap Rabu, jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) bermula 11 Oktober lalu.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI